Kastam rampas 8.3j rokok seludup bernilai RM7.22 juta - Utusan Malaysia

Kastam rampas 8.3j rokok seludup bernilai RM7.22 juta

WAN Nor Wan Mamat (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di Kangar, semalam. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ AB MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas sebanyak 8.3 juta batang rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM7.22 juta termasuk cukai yang dimuatkan dalam sebuah kontena treler di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah 21 Julai lalu.

Kastam turut menahan pemandu treler berusia 40an dalam serbuan pukul 10.30 malam.

Pengarah JKDM negeri, Wan Nor Wan Mamat berkata, rokok itu disorok di belakang 300 kotak pelembut fabrik bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Maklumat berkaitan lelaki itu hasil risikan Unit Siasatan Dalaman (USD) JKDM Kuala Perlis dan suspek disyaki dalam perjalanan ke selatan tanah air.

“Ketika suspek diperiksa di ICQS, dia mengisytiharkan semua rokok berkenaan sebagai pelembut fabrik bagi mengaburi pihak berkuasa. Curiga dengan lelaki itu, kita bertindak mengikuti
suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Tambah Wan Nor, pihaknya masih menyiasat sama ada suspek turut terbabit dengan rangkaian sindiket penyeludupan rokok atau sekadar pemandu membawa barangan berkenaan.

“Suspek kini direman selama 14 hari bermula 22 Julai lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Akta Eksesais 1976 dan jumlah rampasan termasuk cukai berjumlah
RM7.22 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Nor memberitahu, pihaknya merampas 54 bungkusan berisi 618 kilogram  daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM20,000 dalam dua serbuan berasingan pada 23 Julai lalu ketika melakukan rondaan Op Benteng. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.