Harga emas tertinggi, harga getah terendah - Utusan Malaysia

Harga emas tertinggi, harga getah terendah

getah
Potongan terlalu banyak boleh menjejaskan pendapatan peneroka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketika tauke emas dan pengeluar sarung tangan getah mendapat laba besar ekoran kenaikan harga mineral dan komoditi itu di pasaran, nasib berbeza dialami puluhan ribu penoreh getah di seluruh negara.

Harga emas dilaporkan bakal mencecah RM300 segram ma­nakala pasaran sarung tangan getah pula terus mengukuh di peringkat global berikutan pandemik Covid-19.

Permintaan tinggi terhadap sarung ta­ngan getah itu melonjakkan saham-saham syarikat berkaitan di bursa Malaysia.

Ironinya, penoreh getah yang mengerah kudrat bagi menghasilkan bahan mentah uta­ma penghasilan produk itu dikatakan hanya mampu meraih pendapatan antara RM150 hingga RM350 sebulan.

Keadaan itu menyebabkan rata-rata mereka berada di bawah paras kemiskinan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, seramai 26,000 ahlinya memperoleh pendapatan antara RM150 hingga RM350 sebulan selepas kejatuhan harga komoditi itu di pasaran tahun ini.

Katanya, penoreh terbabit berada dalam kategori miskin tegar kerana mereka hanya menoreh getah dua hari seminggu disebabkan faktor cuaca.

Menurutnya, harga getah di pasaran sejak awal tahun ini dianggarkan kira-kira RM1.80 sekilogram dan paling rendah, RM1.60 sekilogram.

Golongan penoreh getah yang mengambil upah menjalankan kerja-kerja tersebut paling terkesan dengan kejatuhan harga komoditi tersebut.

Kebanyakan ahli Pergetah yang tinggal di daerah Baling, Sik dan Padang Terap terbeban untuk menyara keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Taufik berkata, ahli-ahli Pergetah boleh meraih pendapat lebih baik sekiranya harga getah stabil antara RM5 hingga RM6 sekilogram.

Sehubungan itu, beliau men­­cadangkan kerajaan me­wu­judkan jawatankuasa pemantau dan kawalan harga di setiap negeri dan daerah bagi memastikan harga getah stabil di pasaran.

Jelasnya, antara faktor harga getah murah di pasaran dipercayai berpunca daripada pera­ih dan pengilang yang mahu mengaut keuntungan tinggi.

Menerusi jawatankuasa itu, mereka boleh melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai tindakan peraih dan pengilang yang membeli harga getah dengan harga murah,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan sum­ber ekonomi tambahan dengan menggalakkan penoreh getah terlibat dalam sektor lain yang bersesuaian di kawasan masing-masing.

Penoreh getah boleh menjalankan kerja sampingan lain seperti pertanian, penternakan dan kraf tangan untuk menambah pendapatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya