Pijar Foundation dan The Rockefeller Foundation Melancarkan Asia Leaders' Circle untuk Pemimpin Generasi Seterusnya di Asia Tenggara - Utusan Malaysia

PR NEWSWIRE (BM)

Pijar Foundation dan The Rockefeller Foundation Melancarkan Asia Leaders’ Circle untuk Pemimpin Generasi Seterusnya di Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Program felo serantau ini akan menghimpunkan 18 pemimpin pelapis untuk merenung cabaran kompleks yang dihadapi rantau ini serta memperkukuh amalan kepimpinan yang lebih mengambil kira keperluan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

BANGKOK, 27 Oktober 2026 /PRNewswire/ — Pijar Foundation, dengan sokongan The Rockefeller Foundation, telah melancarkan Asia Leaders’ Circle, sebuah inisiatif program felo serantau untuk pemimpin pelapis di seluruh Asia Tenggara yang berusaha menangani cabaran berkaitan kepentingan awam. Program ini akan menyediakan ruang yang berteraskan kepercayaan dan berpaksikan nilai budaya setempat bagi membolehkan peserta meneliti dilema etika, merenung keputusan institusi yang sukar serta mempertimbangkan cara pilihan mereka mempengaruhi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, terpinggir dan kurang diwakili.

Asia Leaders’ Circle diwujudkan bagi menangani jurang dalam pembangunan kepimpinan di seluruh rantau ini: keperluan menyediakan ruang untuk pemimpin yang menangani cabaran sosial dan pembangunan membuat refleksi secara terbuka dan jujur tentang keutamaan yang saling bersaing, tekanan masyarakat serta pertimbangan sukar yang memerlukan kompromi, khususnya apabila keputusan mereka memberi kesan kepada komuniti yang sering kurang diwakili dalam proses membuat keputusan di peringkat institusi. Melalui sesi refleksi berstruktur, pertukaran pandangan sesama peserta dan dialog merentas sektor, program ini akan menggalakkan peserta mempertimbangkan cara amalan kepimpinan mereka dapat mengambil kira keperluan serta pengalaman hidup sebenar komuniti tersebut dengan lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program ini diumumkan semasa AsiaXchange 2026, perhimpunan utama tahunan The Rockefeller Foundation di peringkat serantau yang menghimpunkan pemimpin dan rakan kongsi dari seluruh Asia.

"Asia Tenggara tidak ketandusan pemimpin yang berkebolehan. Pemimpin berpengalaman membawa kebijaksanaan institusi, manakala pemimpin pelapis menawarkan perspektif baharu serta keberanian untuk mencabar pemikiran yang telah lama diterima pakai. Kepimpinan tidak seharusnya menjadi proses pemindahan ilmu sehala, sebaliknya suatu pertukaran berterusan yang membolehkan kedua-dua generasi saling belajar antara satu sama lain," kata Ferro Ferizka, Pengerusi Pijar Foundation.

"Inilah aspirasi di sebalik Asia Leaders’ Circle: untuk mewujudkan ruang yang dipercayai bagi membolehkan pemimpin pelapis dan pemimpin berpengalaman mencabar andaian, saling belajar dan membina hubungan yang berkekalan. Kami berharap dapat memupuk kepimpinan yang berteraskan kerendahan hati, kebijaksanaan dan kerjasama, yang membolehkan pelbagai perspektif menghasilkan keputusan yang lebih teliti dan inklusif demi komuniti yang kami berikan perkhidmatan," tambah Ferro.

Asia Leaders’ Circle edisi sulung dijangka menghimpunkan 18 pemimpin pelapis dari seluruh Asia Tenggara yang mewakili bidang perkhidmatan awam, masyarakat sivil, media, seni dan budaya, perniagaan dan inovasi serta penyelidikan saintifik. Proses pemilihan akan mengutamakan individu yang peranan mereka menyumbang kepada usaha amal, di samping memiliki pengalaman atau potensi kepimpinan yang terbukti. Pengenalpastian calon turut mengambil kira perwakilan serantau dan keseimbangan jantina, dengan perhatian khusus diberikan kepada individu yang tugas mereka melibatkan penglibatan bersama komuniti atau tanggungjawab membuat keputusan yang mempengaruhi hasil bagi golongan yang kekurangan sumber.

Dalam 2026 State of Southeast Asia Survey, tinjauan serantau tahunan yang melibatkan pembentuk pendapat dan pemimpin pemikiran mengenai landskap politik, ekonomi dan geopolitik ASEAN serta Asia Tenggara, lebih 70% responden berumur di bawah 46 tahun. Dapatan ini menunjukkan peningkatan kehadiran generasi muda dalam komuniti profesional yang membentuk agenda serantau dan perbahasan awam. Peralihan generasi ini berlaku ketika cabaran yang dihadapi Asia Tenggara menjadi semakin saling berkaitan.

"Golongan muda di Asia Tenggara sudah pun memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang lebih cerah bagi rantau ini melalui penyelesaian inovatif, kesediaan untuk mengambil risiko serta rasa tanggungjawab bersama terhadap kesejahteraan masyarakat sekeliling. Asia Leaders’ Circle akan menjadi platform berharga bagi pemimpin pelapis untuk membina kerjasama yang tidak dijangka, memperluas perspektif mereka serta menangani cabaran serantau dan global secara bersama. Kami berbangga dapat menyokong inisiatif ini dan berharap dapat menimba ilmu daripada kumpulan peserta tersebut," kata Elizabeth Yee, Naib Presiden Eksekutif Program di The Rockefeller Foundation.

Asia Leaders’ Circle berbesar hati mengalu-alukan K.G.P.A.A. Mangkoenagoro X sebagai ahli pertama Lembaga Penasihatnya. Perspektif beliau mengenai kepimpinan antara generasi, warisan budaya dan tanggungjawab pengurusan institusi akan terus membantu membentuk hala tuju serta pembangunan program ini ketika ia mula bertapak di seluruh rantau ini. Berlandaskan tradisi Mangkunegaran yang telah lama bertapak dalam bidang pendidikan, pemeliharaan budaya dan perkhidmatan awam, penglibatan beliau membawa perspektif tersendiri tentang cara pemimpin dapat meneruskan kebijaksanaan yang diwarisi sambil memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

"Apabila saya diamanahkan untuk memimpin Mangkunegaran, saya mewarisi tanggungjawab yang menghubungkan pelbagai generasi: untuk memelihara warisan yang terus hidup serta memastikan kebijaksanaan yang terkandung di dalamnya terus memberikan manfaat kepada masyarakat dalam dunia yang berubah. Setiap generasi membawa persoalan baharu. Tugas kita adalah untuk meneruskan kebijaksanaan tersebut dengan keterbukaan dan keberanian untuk menghadapi perubahan. Itulah sebabnya saya mengalu-alukan Asia Leaders’ Circle: sebuah ruang yang membolehkan refleksi secara jujur dan hubungan berkekalan menghasilkan keputusan yang lebih baik demi komuniti yang kami berikan perkhidmatan," kata K.G.P.A.A. Mangkoenagoro X.

Menerusi penglibatan beliau, program felo sulung ini akan berlangsung di Surakarta, dengan aktiviti pembelajaran budaya diadakan di Puro Mangkunegaran, sebuah pusat bersejarah bagi kebudayaan, pendidikan dan tradisi kesenian Jawa. Selain kepentingan sejarahnya, Mangkunegaran menjadi contoh nyata tentang cara pengetahuan budaya, tradisi kepimpinan dan nilai institusi dapat dipelihara, dinilai semula dan disesuaikan merentasi generasi. Para felo akan berpeluang mendalami perspektif tersebut dengan meneroka cara kerendahan hati, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab terhadap orang lain dapat menjadi panduan dalam kepimpinan kontemporari serta proses membuat keputusan di peringkat institusi.

Program felo sulung ini akan menggabungkan program penghayatan intensif secara berkediaman di Surakarta dengan perhimpunan yang terbuka kepada masyarakat umum di Jakarta serta aktiviti susulan berstruktur selepas program. Secara keseluruhan, elemen ini direka untuk mewujudkan kesinambungan daripada refleksi peribadi kepada dialog awam dan pembelajaran berterusan. Para felo akan berpeluang bertukar pandangan dengan pembuat dasar, pengamal profesional, organisasi filantropi dan pemimpin serantau, manakala penglibatan alumni akan menyokong pembelajaran berterusan sesama peserta selepas program tamat.

Dalam jangka panjang, Asia Leaders’ Circle berhasrat menyumbang kepada proses membuat keputusan yang lebih berkesedaran, inklusif dan bertanggungjawab dalam institusi serta bidang pekerjaan para felo. Melalui penglibatan susulan dan pendokumentasian amalan membuat keputusan yang mula berkembang, program ini akan meneliti cara peserta mengaplikasikan pembelajaran mereka, termasuk sama ada pendekatan mereka memberikan pertimbangan yang lebih menyeluruh terhadap komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, terpinggir dan kurang diwakili. Cerapan ini akan menyumbang kepada Kompendium Amalan Membuat Keputusan yang bertujuan menyokong pembelajaran program dan menjadi panduan bagi kumpulan peserta akan datang.

Permohonan untuk menyertai Asia Leaders’ Circle edisi sulung kini dibuka kepada pemimpin pelapis di seluruh Asia Tenggara yang menjalankan usaha untuk memajukan kegiatan amal dan berminat untuk membuat refleksi mengenai cabaran kepimpinan yang kompleks bersama peserta daripada pelbagai sektor, negara dan disiplin.

Mohon di sini: [Pautan Pendaftaran]

Maklumat tentang Pijar Foundation

Pijar Foundation ialah yayasan filantropi Indonesia yang berusaha memperkukuh kepimpinan, inovasi dan kerjasama merentas sektor yang diperlukan untuk membentuk masa depan Asia. Usahanya merangkumi tiga teras utama: Kepimpinan dan Pembangunan Kapasiti, Inovasi dan Keusahawanan, serta Advokasi Dasar dan Sekretariat Filantropi.

Melalui kerjasama dengan kerajaan, perniagaan, organisasi filantropi, institusi akademik dan komuniti, Pijar Foundation menyokong penyelesaian yang berteraskan keperluan setempat serta membantu menghubungkan idea berpotensi tinggi dengan institusi, rakan kongsi dan sumber yang diperlukan untuk memperluas impaknya di seluruh Indonesia dan rantau Asia yang lebih luas. Untuk maklumat lanjut, sila lawati pijarfoundation.org.

Maklumat tentang The Rockefeller Foundation

Dengan pelaburan sebanyak $30 bilion sepanjang 113 tahun lalu untuk meningkatkan kesejahteraan manusia, The Rockefeller Foundation ialah organisasi filantropi perintis yang berteraskan kerjasama yang tidak dijangka dan penyelesaian inovatif yang memberikan hasil boleh diukur kepada masyarakat di Amerika Syarikat dan seluruh dunia. Kami memanfaatkan penemuan saintifik, kecerdasan buatan dan teknologi baharu untuk melaksanakan inisiatif berani dalam bidang tenaga, makanan, kesihatan dan kewangan, termasuk melalui badan amal awam kami, RF Catalytic Capital (RFCC). Untuk maklumat lanjut, langgan surat berita kami di www.rockefellerfoundation.org/subscribe dan ikuti kami di X @RockefellerFdn, Instagram @rockefellerfdn dan LinkedIn @the-rockefeller-foundation.

Maklumat tentang Mangkunegaran

Mangkunegaran ialah institusi diraja dan pusat kebudayaan di Surakarta, Jawa Tengah, Indonesia. Berteraskan warisan sejarah, kesenian dan nilai yang kaya, institusi ini memelihara dan memupuk budaya melalui tradisi, pendidikan, kerjasama serta pengalaman yang mendekatkan masyarakat dengan warisan yang terus hidup. Dengan memanfaatkan pengetahuan dan nilai yang diwarisi turun-temurun, Mangkunegaran mengilhamkan idea baharu, ekspresi kreatif dan amalan budaya yang memenuhi keperluan serta cabaran masa kini. Institusi ini mewujudkan peluang kepada masyarakat daripada pelbagai generasi untuk mengenali, menghayati makna dan menyumbang kepada budaya sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web kami di https://mangkunegaran.id/ atau Instagram @mangkunegaran.

Sumber artikel: http://www.prnasia.com/asia-story/archive/5080605_MS80605_6

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

TERKINI