BANYAK pencapaian dikecapi perkhidmatan Tentera Darat sepanjang 93 tahun penubuhannya sejak 1 Mac 1933.
Daripada hanya 25 orang rekrut, Tentera Darat yang merupakan salah satu tonggak dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berkembang pesat dengan berkekuatan lebih 80,000 anggota dan 17 rejimen serta kor.
Bukan setakat itu, kejayaan dalam mengekang ancaman musuh dari dulu sehingga kini tidak boleh dipertikaikan selaras dengan cogan kata ‘Gagah Setia’. Justeru, bagi mendepani cabaran keselamatan dan ancaman yang semakin kompleks, Tentera Darat menetapkan hala tuju serta kesiapsiagaan yang melibatkan keseluruhan aspek sama ada anggota mahupun aset.
Hasrat transformasi Tentera Darat untuk menjadi digeruni dan disegani ditetapkan menerusi beberapa fokus sebagaimana tema sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-93 iaitu ‘Kemahuan Untuk Menang:Pemangkin Keperkasaan Tentera Darat’.
Menurut Panglima Tentera Darat Jeneral Dato’ Azhan Md Othman, tunjang utama dalam merealisasikan hasrat berkenaan ialah pengukuhan keupayaan berteraskan Strategi Domain Daratan (SD2).
Katanya, ini sekali gus menuntut Tentera Darat untuk beroperasi secara bersepadu melibatkan penguasaan pelbagai kepakaran, teknologi terkini.
“‘Kemahuan Untuk Menang’ bermaksud kita membina daya tempur yang berwibawa, tangkas, berteraskan rangkaian selaras dengan aspirasi Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang sedang dibangunkan ketika ini di mana kita menjurus kepada peperangan, konflik atau krisis melibatkan teknologi dan pelbagai domain yang saling berkait rapat,
””Tentera Darat juga akan memberi fokus kepada pembinaan modal insan yang berjiwa pejuang. Sumber manusia merupakan aset penting kepada Tentera Darat. Justeru, tema ‘Kemahuan Untuk Menang’ memerlukan setiap warga Tentera Darat menanamkan mentaliti warfighter, berdisiplin tinggi, profesional dan berintegriti tanpa kompromi.
”Warga Tentera Darat juga akan diperkukuhkan dengan aspek latihan secara joint and combined exercises serta pembangunan kepimpinan berteraskan nilai dan profil Tentera Darat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Azhan, fokus juga diberikan dalam memastikan keutuhan struktur Tentera Darat melalui kesiapsiagaan menyeluruh menghadapi pelbagai ancaman.
Tegasnya, ancaman pada hari ini bukan hanya berbentuk konvensional, tetapi juga merangkumi ancaman asimetrik, keganasan, bencana dan ancaman bukan tradisional.
“Melalui Angkatan Masa Hadapan, ‘Kemahuan Untuk Menang’ akan menjurus Tentera Darat untuk membentuk satu angkatan yang fleksibel, responsif dan mampu melaksanakan operasi secara spektrum penuh di dua wilayah secara serentak iaitu di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
“Ini termasuk juga memperkukuhkan keupayaan mobiliti strategik, logistik dan bantuan kepada pihak berkuasa awam bagi memastikan negara dan rakyat dapat meneruskan kelangsungan kehidupan, ekonomi serta sosial dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau turut berkata, penegasan kepimpinan dituntut dalam memastikan ‘Kemahuan Untuk Menang’ bukan bermaksud sifat agresif atau ofensif, sebaliknya untuk mencegah konflik dengan manifestasi bahawa Tentera Darat bersedia dan berupaya untuk memelihara kedaulatan negara melalui kesiapsiagaan berterusan, transformasi berfasa dan kepimpinan yang jelas hala tujunya.
“Insya-Allah dengan doktrin yang mantap, pemodenan berstruktur dan warga Tentera Darat yang berjiwa patriotik, kita bukan sahaja mampu mempertahankan kedaulatan negara, malah dapat memastikan Tentera Darat akan kekal kredibel dan dihormati di peringkat serantau serta antarabangsa,” ujarnya.
Pengukuhan strategi Tentera Darat ke arah merealisasi matlamat ‘Kemahuan Untuk Menang’ANGGOTA Tentera Darat ketika bertugas dan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.
Dalam pada itu, beliau ketika ditanya tentang inisiatif Tentera Darat dalam memperkasa bidang peperangan elektronik (EW), siber dan operasi dron berkata, perkhidmatan itu sentiasa melihat keperluan berkaitan aspek berkenaan.
Beliau memfokuskan doktrin yang berorientasikan ciri-ciri Angkatan Masa Hadapan termasuk penggunaan dron yang bakal menjadi game changer dengan mengubah banyak perkara disebabkan kosnya yang rendah serta memberikan kesan lebih efektif.
“Kita kini sedang menuju ke arah penggunaan teknologi, khususnya dron, termasuk dron serangan dan loitering munition. Tidak dilupakan juga, elemen-elemen Unmanned ini bukan hanya melibatkan dron udara, tetapi juga sistem-sistem di daratan dan di perairan.
“Hari ini kita dapat melihat bahawa dron telah menjadi salah satu elemen dalam konflik pada hari ini, jadi pastinya akan ada keperluan bagi sistem anti-dron bagi Tentera Darat. Itu antara pendekatan yang perlu dan akan diambil oleh Tentera Darat,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, keupayaan bidang ini sedang diperkukuhkan secara berfasa dan latihan kepada anggota sedang giat dilaksanakan, terutamanya dalam aspek pengendalian dan penggunaan dron.
“Jika melibatkan dron tinjauan, kita perlu mengetahui kawasan yang sesuai untuk melaksanakan intipan. Begitu juga dengan dron kamikaze.
“Pengendaliannya perlu lebih cekap dan tepat. Kini, dron digunakan secara meluas oleh pelbagai elemen termasuk infantri, risik dan artileri. Antaranya, dron digunakan untuk memberikan situational awareness,seperti untuk mengawasi sempadan, kawasan yang sukar diakses atau berada pada jarak jauh.
“Penggunaan dron ini sekaligus akan meningkatkan keupayaan sesebuah elemen dan bertindak sebagai force multiplier dalam memperkukuhkan ketumbukan Tentera Darat,” jelasnya.
KE ARAH PEMODENAN ASET
Berhubung pemodenan aset Tentera Darat, beliau berkata, beberapa aset akan dikenal pasti untuk melaksanakan Life Extension Programme (LEP) dalam usaha memanjangkan jangka hayat perkhidmatan aset secara signifikan.
Katanya, antara aset yang dikenal pasti termasuklah kenderaan tempur yang akan menjalani pemodenan daripada tahap sedia ada.
“Pelaksanaan LEP bukan sekadar penyelenggaraan biasa. Ia melibatkan pemodenan sistem-sistem utama, termasuk sistem elektronik, komunikasi dan persenjataan bagi memastikan aset kekal kredibel serta berkeupayaan untuk memainkan peranannya dalam konflik masa hadapan.
“Pendekatan ini dilihat akan memberikan value for money, di mana ia membolehkan keupayaan platform dipertingkatkan tanpa perlu menanggung kos yang tinggi seperti perolehan aset baharu,” jelasnya.
Beliau dalam masa yang sama berkata pendekatan LEP adalah antara langkah terbaik buat masa ini dan pelaksanaannya dirancang untuk dimasukkan dalam Rancangan Perolehan yang akan datang.Dalam pada perkembangan lain, Azhan yang menyentuh berkenaan perolehan aset Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) berkata, walaupun entiti tersebut bakal menerima aset-aset baharu seawal tahun 2027, usaha untuk menambah bilangan helikopter utiliti tempur akan diteruskan.
“Dari segi spesifikasi, butiran terperinci tidak dapat dinyatakan secara khusus.
“Namun, bagi kategori ini, keupayaannya perlu mampu bersaing dengan pesawat-pesawat yang digunakan di kawasan serantau dan memenuhi keperluan operasi yang telah ditetapkan oleh Tentera Darat,” tambahnya.
PUTD yang kini mengoperasikan beberapa aset termasuk MD530G turut menetapkan sasaran jangka panjang untuk mengoperasikan helikopter penyerang utama bagi mewujudkan keupayaan tempur yang lebih seimbang dalam mendepani ancaman daripada musuh.
Azhan berkata, cadangan rasmi akan dikemukakan kepada kerajaan setelah perkara ini melalui peringkat penelitian dan pertimbangan Tentera Darat serta ATM kelak.
Beliau sementara itu turut yakin, langkah ke arah pemodenan aset Tentera Darat kini telah pun bermula dengan perolehan sistem artileri Self-Propelled Howitzer (SPH) 155mm yang kini berada pada peringkat akhir akan mampu memberikan sistem tembakan sokongan moden kepada ketumbukan tersebut.
KEMBALIKAN KEGEMILANGAN, MARUAH ORGANISASI
Menjengah usia Tentera Darat yang menghampiri satu abad, Azhan menegaskan bahawa kekuatan sebenar pasukan bukan sahaja terletak pada aset dan persenjataan semata-mata, sebalik pada disiplin, integriti dan kesatuan jiwa serta semangat setiakawan yang telah lama menjadi tunjang perjuangan.
Katanya, semua warga Tentera Darat perlu bersama-sama mengembalikan kegemilangan serta maruah organisasi perkhidmatan dan memperbaiki tadbir urus agar tiada lagi ruang untuk dimanipulasi atau diperguna oleh sesiapa sahaja sama ada dalam mahupun luar organisasi. – utusan










