Haji usia muda: Lebih fokus, penuhi kemampuan mental dan fizikal

Haji usia muda: Lebih fokus, penuhi kemampuan mental dan fizikal

MENUNAIKAN haji pada usia muda membolehkan ibadah itu dilaksana dengan lebih mudah dan lancar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USIANYA ketika mengerjakan haji belum pun mencecah 30-an. Ketika rakan sebaya rancak menikmati kehidupan muda. Mohamad Fadhzli Abdul Wahab, 31, sudah dilimpahkan rezeki untuk menunaikan rukun Islam kelima pada tahun 2024.

Dia bersyukur dapat melihat Kaabah dan bersama-sama jutaan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Padang Arafah menunaikan wukuf, iaitu rukun haji terbesar dan kemuncak ibadah haji dengan berpakaian ihram putih yang melambangkan persamaan taraf.

Mohamad Fadhzli kini sudah bergelar haji – satu nikmat cukup besar dikurniakan Allah SWT ketika berjuta-juta umat Islam lain masih belum berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Bagi anak muda yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini, pengalaman ketika mengerjakan ibadat berkenaan pada usia muda merupakan kenangan terindah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Apatah lagi, dia menunaikan haji bersama empat adik beradik lain tanpa ibu bapa yang telah pun menunaikan ibadat berkenaan terlebih dahulu.

MOHAMAD FADHZLI

“Antara pengalaman manis apabila saya bersama adik beradik ialah dapat menjadi ‘penyeri’ golongan tua yang rindukan anak-anak serta cucu di tanah air. Paling penting sekali apabila kami dapat membantu mereka.

“Saya masih ingat lagi, sebagai contoh ketika tawaf. Kami akan jadi pengiring mereka. Begitu juga ketika menunaikan ibadat melontar jamrah. Adakalanya kami akan tolong bawakan mereka air atau bawakan beg mereka sekiranya mereka penat. Jadi ini merupakan satu kepuasan bagi saya apabila dapat membantu mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Fadhzli lagi, selain itu, apa yang lebih penting bagi dirinya, menunaikan haji di saat muda memberi peluang kepadanya untuk fokus terhadap ibadat dan banyak urusan berjalan lancar ketika di sana.

Tambahan pula dengan cuaca yang panas ketika itu katanya, ibadat haji semestinya menuntut kekuatan mental dan fizikal setiap jemaah, sekali gus menjadi cabaran terbesar bagi mereka yang sudah berumur.

“Sebagai contoh ketika melakukan ibadat saie, tawaf atau mahu berulang alik ke Masjidil Haram. Kalau ada masalah kesihatan, ini pasti sukar dan mungkin menyebabkan seseorang hilang fokus.

“Justeru, menunaikan ibadat haji ketika usia muda satu kelebihan dan paling penting kita dapat beri fokus sepenuhnya,” jelasnya.

Apabila ditanya tentang cara bagaimana mampu menyimpan wang untuk mengerjakan ibadat haji pada usia muda, dia menjelaskan bahawa segalanya hasil perancangan kedua-dua ibu bapanya sejak masih kecil.

“Saya bertuah kerana ayah dan ibu saya sudah merancang awal dan buat simpanan kami lima beradik sejak dari kecil termasuk membuat potongan gaji sejak kami masih kecil sehinggalah cukup syarat.

“Apabila usia mencecah 18 tahun, akaun tersebut milik kami sepenuhnya dan kami teruskan simpanan sehinggalah tiba giliran.

“Malah, duit raya dan lebihan belanja itu sekiranya ada, emak dan ayah suruh masukkan dalam simpanan Tabung Haji. Mereka kata supaya kami boleh lihat Kaabah apabila sudah besar nanti,”ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Fadhzli berkata, selepas hampir dua tahun bergelar haji pada usia muda, perspektif hidupnya kini berbeza dan berlaku perubahan sedikit demi sedikit.

Dia juga kini lebih tenang dan sangat menghargai setiap masa yang ada terutama dalam soal amal ibadat.

“Saya cuba untuk menjaga solat pada awal waktu dan juga menjaga tingkah laku. Di samping itu, hubungan antara saya dan adik beradik lain juga semakin kuat kerana sudah rasa saat susah dan senang ketika berada di Mekah,” jelasnya.

Mohamad Fadhzli yang kini merupakan seorang usahawan berkata, ibadat haji umpama sukan rohani dan fizikal paling berat terutama untuk mereka yang sudah berumur.

Justeru katanya, umat Islam di negara ini perlu mengambil peluang dan memulakan langkah untuk berusaha agar dapat menunaikan ibadat haji ketika di usia muda

“Kalau ada yang mungkin rancang untuk pergi haji ketika pencen, kita bimbang kesihatan tidak mengizinkan. Perlu diingat haji bukan penutup hidup tapi permulaan untuk menjadi insan yang lebih baik,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain bagi Muhammad Ameer Che Noor Azam, 19, peluang menunaikan haji pada waktu muda tidak boleh dilepaskan begitu sahaja dan memerlukan persediaan rapi terutama perkara berkaitan ilmu.

Menurutnya, kekurangan ilmu selan tanggapan salah kononnya ibadat ini hanya semata-mata untuk mereka yang sudah bersara tidak wajar dijadikan alasan menangguhkan niat menunaikan haji.

MUHAMMAD AMEER

“Sebenarnya banyak kelebihan sekiranya orang muda pergi haji kerana kemampuan fizikal dan mental yang lebih kuat. Pergerakan-pergerakan dari awal sehingga akhir banyak bergantung kepada kekuatan fizikal. Tawaf, sa’i, duduk di Padang Arafah, melontar di ketiga-tiga jamrah, bermalam di Muzdalifah, semuanya banyak menggunakan tenaga.

“Saya merasakan bahawa kalau dapat orang muda ini menunaikan haji, memang itu sangat memenuhi tuntutan istito’ah (kemampuan tunai haji) itu,” jelasnya.

Menurut anak jati Puchong, Selangor ini, apabila seseorang dapat menunaikan haji, bermakna ia menjadi pelengkap kepada pegangan agama Islam untuk individu itu, sekali gus dapat meluaskan pandangan dan minda golongan muda.

Muhammad Ameer turut menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya membuka akaun Tabung Haji untuk anak masing-masing sejak kecil bagi memudahkan urusan menunaikan ibadat haji pada masa akan datang.

Dia yang kini menuntut di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (UM) dalam masa yang sama berkata, masyarakat perlu mengubah pandangan bahawa ibadat rukun Islam kelima itu juga bukan hanya semata-mata untuk mereka yang bergelar pesara atau mereka yang sudah berumur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN