BATU PAHAT: Pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan sekadar proses akademik semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pemikiran kritikal pelajar serta asas kepada pembinaan kerjaya masa depan.
Ini dapat dilihat menerusi pelajar yang terlibat dalam pembelajaran STEM di bawah Program Sekolah Angkat MADANI (SAMADANI) yang disokong Yayasan PETRONAS melalui program Duta Guru (PDG).
Pendedahan awal di sekolah-sekolah terpilih telah menanam aspirasi dan cita-cita baharu dalam kalangan pelajar, yang sebelum ini mungkin tidak menyedari potensi sebenar mereka dalam STEM.
Antara yang terpilih ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent (M) Batu Pahat, yang mula fokus dalam pembelajaran STEM dua tahun lalu. Walaupun hanya 20 peratus pelajarnya terlibat pada peringkat awal, sekolah ini kini berjaya menyertai pelbagai pertandingan STEM, bukan sahaja di peringkat sekolah dan negeri, malah hingga ke peringkat antarabangsa.
Pengetua SMK Convent (M) Batu Pahat, Lim Poh Lian menyatakan penghargaan terhadap inisiatif Yayasan PETRONAS yang sentiasa komited memperkasa pendidikan sekolah.
“Dengan adanya seorang Duta Guru melalui PDG anjuran Yayasan PETRONAS, ia memberi impak besar kepada sekolah ini. Ia meningkatkan keyakinan guru-guru lain untuk turut serta dalam pembelajaran STEM serta melahirkan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif dan inovatif,” katanya.
Tambahnya, penubuhan Pusat Inovasi Murid yang dibiayai menerusi Dana Duta Guru di bawah program tersebut turut memberi peluang kepada pelajar untuk menjadi peneraju dalam aktiviti STEM, bukan sekadar mendidik rakan sebaya di sekolah sendiri, malah berkongsi ilmu dengan pelajar dari sekolah lain.
Menurut Poh Lian, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan dan kini sebagai Pegetua sejak lima bulan lalu, peranan yang diberikan kepada pelajar itu turut berjaya menarik minat pelajar lain terhadap pembelajaran STEM serta membolehkan sekolah ini berjaya menyertai pertandingan STEM sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Melalui pertandingan itu, menang atau kalah bukan ukuran, namun yang lebih utama ialah pengalaman dan pembelajaran yang diperoleh serta pencapaian yang diraih.
“Ia turut melahirkan pelajar yang proaktif. Saya berharap minat pelajar terhadap STEM akan terus meningkat agar kelas aliran Sains menengah atas dapat diperkukuh di sekolah ini,” katanya.
Daripada kejayaan sekolah ini, langkah Yayasan PETRONAS memperkenalkan pembelajaran STEM di sekolah-sekolah terpilih adalah selaras dengan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan cendekiawan yang berasaskan sains teknologi masa kini.
Bagaimanapun, usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada guru-guru sekolah yang diangkat sebagai Duta Guru.
Guru Cemerlang Reka Bentuk Teknologi (RBT), SMK Convent (M) Batu Pahat, Nur Ain Abd Jabar berkata, penyertaannya dalam PDG dan khidmatnya sebagai Duta Guru bagi pembelajaran STEM di sekolah ini telah banyak memberikan impak positif kepada pelajar dibawah bimbingannya.
Katanya, pada awal penyertaan sebagai Duta Guru dua tahun lalu, pembelajaran STEM dianggap sukar untuk disampaikan kepada pelajar kerana proses pengajaran dan pembelajaran itu berbeza daripada kaedah biasa.
“Namun selepas menyertai PDG, saya dapat pengalaman baharu yang amat berharga dan hasilnya amat memberangsangkan, khususnya bagi pelajar yang terlibat dalam pembelajaran STEM ini.
“Malah ada antara mereka kini mempunyai kemahiran sendiri dalam penyediaan bahan berkaitan STEM, yang sebenarnya di luar jangka kemampuan seseorang seusia mereka dan bahkan melangkaui tahap orang dewasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, penglibatannya dalam PDG banyak mengubah pendekatan dalam pembelajaran STEM apabila dapat belajar benda baharu bersama komuniti Duta Guru.
Ujarnya, pada mulanya, pelajar di sekolah ini tidak mengetahui apa itu STEM, namun selepas pembelajaran ini dibudayakan, ia telah menarik minat ramai pelajar. Malah, beliau merancang untuk membuka satu lagi slot pembelajaran berkaitan kerjaya.
“Ini kerana selepas pelajar-pelajar ini meminati bidang STEM, mereka juga perlu tahu apa impaknya terhadap masa depan dan laluan kerjaya yang boleh diceburi,” katanya lagi.
Kecemerlangan Nur Ain diiktiraf apabila pelajar di bawah kelolaannya kini mampu berperanan sebagai mentor, dengan lapan orang daripada mereka sudah boleh membimbing rakan sebaya, termasuk pelajar dari sekolah berdekatan.
Pelajar Tingkatan 4 SMK Convent (M) Batu Pahat, Teu Xin Tian, 16, berkata pemilihan sekolah itu sebagai SAMADANI telah banyak mengubah suasana pembelajaran pelajar di sekolah berkenaan.
Katanya, pembelajaran STEM yang diperkenalkan Yayasan PETRONAS di sekolah ini amat tepat dan berkesan, terutamanya dengan penubuhan Pusat Inovasi Murid dan Karnival Kerjaya STEM yang berperanan mengembangkan lagi pengetahuan berkaitan STEM.
“STEM ini banyak membantu saya dalam pelajaran, selain memberi nilai tambah dalam kehidupan harian melalui kreativiti sendiri, serta memberikan pengetahuan terhadap pemilihan kerjaya pada masa depan,” katanya.
Pelajar Tingkatan 3 sekolah yang sama, S. Shamirha, 15, pula berkata, pembelajaran STEM membuka mindanya terhadap bidang sains dan teknologi masa kini dan memahami bagaimana ia berguna dalam pemilihan kerjaya pada masa hadapan.
“Saya kini lebih bermotivasi untuk mendalami pembelajaran STEM kerana berpeluang melihat kaitan sains dan teknologi dengan kehidupan sebenar masyarakat.
“Aktiviti dan bengkel yang dijalankan menjadikan saya lebih inovatif sehingga berhasil mencipta aplikasi sendiri untuk memudahkan pelajar lain mendalami sains,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis berkata, sebagai program pendidikan utama Yayasan PETRONAS, PDG menyokong dasar kerajaan dalam mencapai nisbah 60:40 untuk pengambilan pelajar dalam bidang STEM. Beliau menjelaskan bahawa menjelang tahun 2030, PDG menyasarkan untuk membangunkan seramai 4,500 guru teladan yang berkompetensi tinggi dan komited dalam meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) melalui pendidikan STEM, sebagai asas sebuah negara yang berdaya saing.
Di bawah Program SAMADANI, Yayasan PETRONAS menyokong 50 buah sekolah di seluruh Malaysia melalui PDG, sebuah inisiatif utama di bawah tonggak pendidikan Yayasan PETRONAS.
Sekolah-sekolah ini dipilih kerana mempunyai seorang Duta Guru yang memacu usaha STEM. Sokongan juga diteruskan kepada sekolah yang Duta Gurunya telah berpindah, kerana masih terdapat guru lain yang terus memastikan usaha memartabatkan STEM dan memperkukuh pendedahan murid terhadap bidang ini, selaras dengan pelaksanaan bantuan dan inisiatif yang disediakan oleh program.
Skop program ini termasuklah bantuan kemudahan sekolah melalui penambahbaikan makmal sains, di mana sumbangan meliputi peralatan seperti mikroskop, kebuk asap dan latihan untuk pembantu makmal.
Di samping itu, Program Karnival Kerjaya STEM turut dilaksanakan untuk memupuk minat murid dalam STEM dan melahirkan pelajar yang berdaya saing di dalam bidang STEM, seterusnya mampu memasuki dunia sebenar pekerjaan STEM kelak.
Turut hadir menyokong penganjuran ini ialah sukarelawan PETRONAS yang merupakan tenaga pakar dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, ICT dan keselamatan industri. Kehadiran mereka bukan sahaja memberikan inspirasi, malah memperkayakan pengalaman pembelajaran murid dengan perkongsian dunia sebenar kerjaya STEM.
Program SAMADANI turut menyediakan dana kepada sekolah untuk melaksanakan Program Pendidikan Alam Sekitar menggunakan pendekatan yang memupuk nilai “penanaman janaan semula“ atau regenerative planting, bagi memupuk pemahaman serta kemahiran memelihara dan memulihara alam sekitar, ke arah kehidupan secara lestari.
Melalui kerjasama erat antara Yayasan PETRONAS, guru dan pelajar, pembelajaran STEM kini bukan sekadar subjek di sekolah – tetapi satu perjalanan inspirasi yang membentuk generasi muda Malaysia agar berani berfikir, mencipta dan memimpin dunia masa depan.-UTUSAN










