EON didik inovator masa depan melalui EON Tech Future Camp 2025

EON didik inovator masa depan melalui EON Tech Future Camp 2025

Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) KPM, Zulkernai Fauzi, (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif EON Berhad, Akkbar Danial bersama semua pemenang EON Tech Future Camps 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kem ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang aplikasi praktikal STEM dan teknologi digital serta peluang kerjaya pada masa depan.

KUALA LUMPUR: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), pengedar pelbagai jenama kereta terbesar di Malaysia dan anak syarikat DRB-HICOM Berhad telah menamatkan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terkini melalui EON Tech Future Camp 2025.

Program yang dilaksanakan bersama Creative Minds Education direka untuk memberi inspirasi dan membangunkan generasi inovator masa depan Malaysia melalui pengalaman pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) secara interaktif.

Menggabungkan Kemahiran Digital dengan Kompetensi Teknikal

Inisiatif ini membawa pembelajaran secara hands-on dan cabaran inovasi ke enam sekolah di Selangor dan Negeri Sembilan, iaitu SMK Bukit Rahman Putra, SMK Bandar Baru Bangi, SMK Dusun Nanding, Kolej Vokasional Ampangan, Kolej Vokasional Juasseh dan Kolej Vokasional Port Dickson.

Seramai 360 pelajar berpeluang menyertai siri bengkel, demonstrasi robotik dan sesi pengekodan.

Tumpuan utama kem ini ialah Acebott Robotics iaitu platform robotik pendidikan yang membolehkan pelajar membina dan memprogram robot menggunakan komponen modular serta perisian pengekodan visual.

Ini membolehkan konsep STEM, pengekodan dan kejuruteraan diterjemahkan dengan cara yang menarik dan mesra bilik darjah.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, inisiatif EON Tech Future Camp memberi pendedahan kepada pelajar tentang pandangan dan amalan sebenar industri, membantu mereka memahami peranan teknologi dalam industri.

“Ia juga membuka mata mereka kepada pelbagai kemungkinan kerjaya dalam bidang inovasi dan kejuruteraan, sekaligus memperkukuh persediaan mereka untuk pekerjaan masa depan.

“Melalui kem ini, EON menegaskan bahawa pendidikan adalah teras dalam memacu inovasi dan pertumbuhan lestari dalam industri automotif,” katanya.

Inisiatif ini mencapai kemuncaknya dengan pertandingan akhir yang diadakan baru-baru ini di Ibu Pejabat EON di Glenmarie .

Ia bagi para pelajar mempamerkan kemahiran teknikal dan inovatif mereka dalam tiga kategori iaitu Mission Challenge, Maze AI Challenge, dan Innovation Challenge.

Juara setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, manakala naib juara pertama dan kedua masing-masing menerima RM750 dan RM500 serta sijil penyertaan.

Kolej Vokasional (KV) Ampangan muncul sebagai juara keseluruhann dan meraih tempat pertama dalam semua kategori pertandingan.

Dalam Mission Challenge, SMK Bukit Rahman Putra meraih Naib Juara Pertama manakala KV Juasseh Naib Juara Kedua.

Sementara itu, KV Juasseh menjadi Naib Juara Pertama dan SMK Bukit Rahman Putra Naib Juara Kedua dalam Maze AI Challenge.

Dalam Innovation Challenge, SMK Bukit Rahman Putra dan KV Juasseh masing-masing menduduki Naib Juara Pertama dan Kedua. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN