KOTA KINABALU: Usaha membangunkan pendidikan inklusif di Sabah terus diperkukuh apabila
Taylor’s College dan SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu berganding bahu melancarkan Bilik Muzik Inklusif yang dinaik taraf, susulan daripada pengiktirafan RISE Educator Award 2025.
Pengarah Kampus Taylor’s College, Josephine Tan berkata, majlis tersebut bukan sekadar lawatan, tetapi satu pertemuan bermakna yang meraikan semangat seorang pendidik luar biasa yang telah mengubah persepsi pendidikan muzik bagi anak-anak istimewa untuk menjadi lebih inklusif dan bermakna.
“Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang untuk belajar, mengekspresi diri, dan berkembang maju, tanpa mengira keupayaan mereka.
“Berpegang pada prinsip ini, kisah seperti cikgu Stefanus Lucas benar-benar menyentuh hati kami dan saya pasti, hati masyarakat juga, sehingga beliau menerima undian serta markah yang tinggi dalam RISE Educator Award yang kami anjurkan awal tahun ini,” katanya ketika berucap di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu.
Turut hadir, Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri Sabah, Yang Berbahagia Datuk Ceasar Mandela Malakun.
RISE Educator Award merupakan pertandingan yang meraikan pendidik luar biasa yang telah memberi sumbangan cemerlang kepada murid-murid mereka, baik dari segi pendidikan mahupun kehidupan sosial anak-anak murid.
Tahun ini, pihaknya telah menerima lebih daripada 1000 pencalonan daripada seluruh Malaysia.
Malah, ia merupakan sekolah kedua di Sabah yang menerima manfaat daripada penajaan RISE Educator Award, selepas penajaan bernilai RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Bingkor di Keningau melalui inisiatif Cikgu Dr Velerie Wheelervon Primus pada tahun 2023.
Sejak menyertai SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu pada tahun 2024, cikgu Stefanus Lucas telah memperjuangkan muzik sebagai bahasa universal bagi murid dengan perbezaan pendengaran dan
pembelajaran.
Bermula dengan aktiviti ringkas secara spontan,program ini kini berkembang menjadi sebuah kurikulum terancang melibatkan lebih 40 murid, berasaskan rentak, getaran dan pergerakan. Usaha beliau telah membolehkan murid membuat persembahan buat pertama kali serta menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, membuktikan bahawa ekspresi dan kreativiti mampu berkembang melangkaui batas pendengaran.
Berkongsi pengalamannya, Stefanus Lucas berkata,“Ramai menganggap muzik hanya berkaitan pendengaran, tetapi bagi murid saya, muzik adalah tentang rasa, visual dan ekspresi diri. Ketika saya mula bertugas, kami tidak mempunyai bilik muzik, maka saya mulakan dengan apa sahaja yang ada untuk memberi mereka cara baharu berkomunikasi dan membina keyakinan. Melihat perkembangan mereka, daripada meneroka rentak asas kepada tampil yakin di pentas, adalah pengalaman paling bermakna buat saya.”
Tajaan RISE Educator Award bernilai RM50,000 yang diterima Cikgu Stefanus digunakan untuk menaik taraf fasiliti pembelajaran,menganjurkan Bengkel Angklung serta Bengkel Pengajaran Muzik Inklusif, dan menghasilkan Buku Panduan Muzik Pendidikan Khas.
Taylor’s College turut menyumbangkan satu set projektor dan sistem pembesar suara untuk kegunaan murid di bilik muzik berkenaan.
“Dengan sokongan Taylor’s College, kini kami mempunyai Bilik Muzik Inklusif pertama di Sabah, yang membolehkan kami memperluas bengkel, latihan dan bahan pembelajaran. Bilik ini bukan sekadar kemudahan; ia mengingatkan kita bahawa tumpuan harus diberi kepada keupayaan, bukan kekurangan,” sambung Stefanus.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mohamad Sufri Salim berkata, pembangunan pendidikan inklusif selaras dengan Pelan Strategik KPM 2024–2030, khususnya teras meningkatkan akses dan kualiti pendidikan untuk semua.
“Pada hari ini, kita menyaksikan inisiatif tersebut melalui RISE Educator Award yang disusuli
dengan RISE Educator Community Project anjuran Taylor’s College. Program ini bukan sahaja
mengiktiraf kecemerlangan guruguru, tetapi turut berperanan dalam membangunkan ekosistem pendidikan yang lebih kondusif dan memberi inspirasi kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau menyambut baik komitmen Taylor’s College yang menyediakan RM10,000 kepada setiap finalis RISE Educator Award bagi penambahbaikan fasiliti sekolah masing-masing, selain tajaan RM5,000 kepada pemenang dan RM50,000 kepada SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu.
Katanya, program seperti ini memberi impak langsung kepada pelajar yang berdepan cabaran kemudahan, akses sumber pembelajaran serta sokongan emosi.
“Inisiatif seperti ini mencerminkan nilai kolaborasi dalam pendidikan yang amat penting bagi transformasi pendidikan negara. Sekolah yang kondusif dan ceria adalah asas untuk
menarik minat pelajar dan membina semangat belajar yang berterusan,” katanya. – UTUSAN








