Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) rai 110 legasi kraf tangan negara

Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) rai 110 legasi kraf tangan negara

SHAHARUDDIN Abu Sohot (Empat dari kiri), ‘Ainu Sham Ramli (tiga dari kiri) dan Shamsul Azizi Samsudin bersama para penerima anugerah sempena Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-23 di Rawang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: Seramai 110 graduan Institut Kraf Negara (IKN) melibatkan pelbagai program pengajian diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-23 yang berlangsung penuh gilang-gemilang.

Graduan terdiri daripada 54 penerima Diploma Seni Kraf, lapan penerima Sijil Seni Kraf, 39 penerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), dan sembilan penerima Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja.

Turut diraikan tujuh penerima Sijil Kemahiran Malaysia melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (SKM-PPT) yang diberikan kepada individu berkelayakan berdasarkan pengalaman dan pencapaian dalam bidang seni kraf.

Istiadat Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-23 itu disempurnakan oleh Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Turut hadir, Pengerusi Kraftangan Malaysia, Mohd Al-Hafizi Ab. Bakar; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Ramli serta Pengarah Kanan IKN, Shamsul Azizi Samsudin.

Istiadat yang berlangsung di Dewan Cindai, IKN itu dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Shaharuddin semasa ucapan perasmian berkata, tahun ini menunjukkan peningkatan pendaftaran pelajar baharu sebanyak 20.75 peratus berbanding tahun lalu sekali gus membuktikan IKN terus menjadi institusi pilihan utama dalam bidang pengajian seni kraf berbanding institusi lain yang menawarkan program sama.

“Konvokesyen bukan sekadar simbolik kejayaan akademik, tetapi satu titik permulaan baharu dalam perjalanan kehidupan.

“Graduan IKN perlu berani meneroka peluang, mengembangkan kreativiti dan terus berinovasi agar seni kraf kekal segar serta diminati masyarakat,” katanya.

Pada majlis itu, Aisyah Ahmad diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan bagi program Diploma Seni Kraf, diikuti S. Vaniesha penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan program Sijil Seni Kraf dan Helena Esan @ Hassan penerima anugerah pelajar terbaik keseluruhan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

IKN juga mampu menjadi contoh institusi latihan kemahiran kraf berprestasi tinggi seiring hasrat kerajaan bagi memperkasa pendidikan TVET.

Pada masa sama, Kraftangan Malaysia dilantik sebagai Badan Peneraju Industri (ILB) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Menerusi lantikan itu, industri kraf negara terus diperkukuh dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang kraf.

Sempena istiadat itu, watikah pelantikan Adiguru Kraf turut disampaikan kepada dua pengusaha kraf yang memiliki kepakaran tinggi dalam seni ciptaan dan pertukangan kraf.

Mereka ialah Adiguru Kraf Anyaman Ribu-Ribu, Farnie Loboi dan Adiguru Kraf Sulaman Nyonya, Lim Yu Lin.

Adiguru Kraf berperanan penting dalam usaha memulihara dan memelihara seni kraf negara melalui kesungguhan serta kesediaan untuk menyerahkan ilmu dan kemahiran kepada generasi pelapis.

Pengiktirafan ini sekali gus dapat mengukuhkan imej dan peranan tokoh pelbagai rujuk bagi memartabatkan seni kraf negara di peringkat nasional dan antarabangsa.

IKN komited melahirkan modal insan berkemahiran dan berbudaya tinggi menerusi pengajian yang dinamik dan berkualiti serta berperanan sebagai hub-rujukan pendidikan kraf dalam usaha pengekalan warisan pengukuhan jati diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN