KOTA KINABALU: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkukuh agenda pembangunan ekonomi luar bandar menerusi pelbagai inisiatif berskala besar dengan memberi tumpuan pemerkasaan komuniti desa khususnya di Sabah.
Menerusi pelaksanaan program yang terus diperkukuh saban tahun, termasuk inisiatif
yang digerakkan pada 2024 dan 2025, KKDW memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Fokus ini merangkumi sokongan berterusan kepada usahawan kecil, perusahaan mikro serta penduduk kampung.
KKDW menjelaskan bahawa pendekatan menyeluruh ini bukan sahaja berupaya meningkatkan pendapatan, malah memperkukuh daya saing dan ketahanan ekonomi desa secara berterusan.
“Salah satu inisiatif utama ialah PROSPEK (Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung) yang memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi produktif.
“Dalam tempoh dua tahun, sebanyak tujuh projek bernilai RM8.9 juta berjaya dilaksanakan
dan memberi manfaat langsung kepada penduduk luar bandar di Sabah,” kata KKDW.
Menurut KKDW, program itu telah membuka peluang baharu kepada komuniti kampung untuk menjana pendapatan melalui aktiviti produktif berasaskan komuniti.
Selain itu, usaha pemerkasaan turut diperkukuh melalui Program Sentuhan Kasih Desa yang
merangsang ekonomi setempat melalui padanan perniagaan, pameran jualan dan pembangunan produk.
“Seramai 252 usahawan Sabah berjaya diperkasakan dalam tempoh dua tahun dengan nilai jualan mencecah RM3.898 juta.
“Program ini bukan sahaja meningkatkan hasil jualan, malah memperluas rangkaian perniagaan para usahawan,” katanya.
Dalam pada itu, seiring perkembangan digital, KKDW turut melaksanakan Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU) bagi memperkukuh kemampuan pemasaran dalam talian dan penggunaan platform e-dagang.
Pada 2025, dinggarkan seramai 201 usahawan Sabah menerima manfaat melalui peruntukan sebanyak RM333,458 di bawah program ini.
Pada masa sama, Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) menyediakan ruang untuk usahawan mengembangkan perniagaan melalui pembangunan produk dan penyediaan fasiliti sokongan.
“Sebanyak 31 usahawan di Sabah menerima manfaat daripada program ini sepanjang 2025.
“Bagi memastikan ekosistem perniagaan desa lebih kondusif, KKDW melalui Mara dalam melaksanakan kerja menaik taraf premis dan fasiliti perniagaan.
“Pada 2024, sebanyak 21 lot premis MARA dinaik taraf dengan kos RM0.2 juta, manakala pada 2025 sebanyak RM2.18 juta diperuntukkan bagi menambah baik dua Arked MARA di Sandakan melibatkan 39 lot premis.
“Penambahbaikan ini membolehkan usahawan beroperasi dalam persekitaran lebih selesa, selamat dan kompetitif,” katanya. – UTUSAN










