PETALING JAYA: Jenama tenusu Malaysia, Farm Fresh Berhad, sekali lagi dinobatkan sebagai Brand of the Year bagi kategori Produk Tenusu di majlis World Branding Awards 2025–2026 yang berlangsung di Osaka City Museum of Fine Arts baru-baru ini.
Ini merupakan kemenangan ketiga mereka sejak merangkul gelaran tersebut buat kali pertama pada tahun 2022. Farm
Fresh sekali lagi menjadi satu-satunya pemenang dalam kategori Produk Tenusu dari Malaysia yang dipilih untuk anugerah tahun ini.
World Branding Awards ialah program anugerah utama anjuran World Branding Forum, dan para pemenang dinilai melalui tiga kaedah — penilaian jenama, kajian pasaran pengguna serta undian dalam talian oleh orang ramai. Tahun ini, seramai 91,000 pengguna dari 66 negara merentasi tujuh benua telah mengundi untuk mengiktiraf jenama yang mereka
percayai dan paling mereka gemari.
“Dinobatkan sebagai Brand of the Year, pengiktirafan ini bukan hanya sekadar satu pencapaian tetapi ia adalah anugerah yang dipilih oleh pengguna melalui undian awam terutamanya apabila 70% undian dipacu oleh pengguna; melambangkan kepercayaan pengguna terhadap jenama pilihan. Apabila pengguna mengundi untuk sesebuah jenama, itu bukan sekadar penghargaan; ia adalah pengesahan. Undian awam adalah bentuk pengiktirafan jenama yang paling tulen,” Richard Rowles, Pengerusi Global, World Branding Forum
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Farm Fresh Berhad, Loi Tuan Ee, berkata, “Kami bermula sebagai sebuah ladang kecil di Malaysia dengan impian yang besar. Hari ini, pengiktirafan global yang diberikan buat kali ketiga merupakan satu detik yang membanggakan, bukan sahaja untuk Farm Fresh tetapi juga untuk setiap rakyat Malaysia yang percaya kepada jenama tenusu tempatan.
“Kami amat menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan, dan kami akan terus komited untuk melaksanakan komitmen kami untuk terus menyediakan produk yang berkualiti dan sumber bahan dari semula jadi, bebas dari pengawet, pewarna tiruan, perasa dan gula tersembunyi.
“Kemenangan ini kami dedikasikan kepada seluruh warga Farm Fresh, para penternak kami dan sokongan dari pengguna kami yang tidak berbelah bahagi yang memilih produk tenusu segar dan lestari.
Kejayaan seperti ini mengingatkan kami bahawa usaha kami memberi impak yang baik”.
Farm Fresh Berhad merupakan syarikat tenusu tempatan terbesar di Malaysia. Menerusi anak-anak syarikatnya, Kumpulan Farm Fresh mengendalikan model “grass-to-glass” yang merangkumi aktiviti perladangan, pemprosesan dan pengedaran pelbagai produk tenusu serta produk berasaskan tumbuhan.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2009, Farm Fresh telah berkembang merentasi keseluruhan rantaian nilai grass-to-glass, menjadi salah satu jenama tempatan paling ikonik di Malaysia, menawarkan produk tenusu tulen tanpa pengawet atau bahan tambahan tiruan, dihantar segar ke pasar raya dan kedai seluruh negara. Farm Fresh kini mengendalikan ladang tenusu di Malaysia dan Australia, merangkumi lebih 5,000 ekar tanah, dengan jumlah ternakan melebihi 13,000 ekor lembu tenusu dan jantan.
Syarikat ini telah memperkenalkan lebih 216 produk melalui pelbagai jenama termasuk Farm Fresh, Master Barista, Henry Jones, Yarra Farm, Yarra by Farm Fresh, Nubian Goat’s Milk, Jom Cha by Farm Fresh, St David Dairy
(Australia), Inside Scoop dan Sin Wah Ice Cream.
Kehadiran Farm Fresh dalam pasaran adalah dalam pelbagai segmen produk, daripada minuman sedia diminum (RTD) susu sejuk dan ambien, yogurt, produk berasaskan tumbuhan hinggalah aiskrim.
Pertumbuhan syarikat dipacu oleh pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), membolehkan pelbagai inovasi termasuk susu tepung Farm Fresh Grow, susu organik Australia, aiskrim CPG, minuman coklat malt,
produk susu kultur baharu dan mentega.
Sebagai peneraju pengeluar produk tenusu bersepadu terbesar di Malaysia, Farm Fresh kini bersedia untuk memperluas kehadirannya dalam rantau Asia Pasifik.
Farm Fresh mengeksport produk sedia diminum berasaskan tenusu dan tumbuhan ke Singapura, Brunei, Filipina dan Kemboja. Farm Fresh juga melaksanakan “reverse investment” di ladang dan kilang pemprosesan susu di Australia, membolehkan Farm Fresh mengeksport bahan tenusu dari kilangnya di Victoria, Australia ke Malaysia, Filipina dan pelanggan global termasuk di Timur Tengah.
Farm Fresh juga telah memulakan operasi di kilangnya di Filipina untuk menghasilkan susu pasteur bagi pasaran Metro Manila.
Farm Fresh percaya kepada falsafah “doing well by doing good”. Teras nilai syarikat ialah komitmen untuk menghasilkan produk berkhasiat tanpa pengawet, pewarna tiruan, perisa tiruan dan gula tersembunyi seperti maltodextrin untuk produk RTD, ambien dan serbuk.
Prinsip produk ini telah menjadi komitmen Farm Fresh sejak awal penubuhan mereka, bermula dengan susu segar hinggalah produk susu tumbesaran kanak-kanak yang dihasilkan tanpa bahan tambahan berbahaya.
Bagi Farm Fresh, kesihatan dan kebajikan ternakan amat penting untuk memastikan kualiti produk, reputasi jenama dan ketahanan perniagaan. Lembu tenusu yang sihat dan dijaga dengan baik menghasilkan susu yang berkualiti.
Semua ladang Farm Fresh mematuhi Good Animal Husbandry Practices (GAHP), Malaysian Good Agricultural Practices (MyGAP) dan piawaian World Organisation for Animal Health. Setiap ladang disokong oleh pasukan penjagaan kesihatan haiwan diketuai oleh Pengurus Kumpulan Ternakan & Veterinar, bersama doktor veterinar bertauliah dan graduan sains haiwan. Komitmen Farm Fresh terhadap standard kebajikan haiwan ini disahkan melalui akreditasi Certified Humane®,
diterima oleh semua ladang siap di Malaysia, menjadikan Farm Fresh syarikat tenusu pertama di Asia menerima pengiktirafan antarabangsa ini.
Farm Fresh telah mengendalikan Program Susu Sekolah sejak 2011 dan sejak 2022, lebih 100 juta pek susu sekolah telah diedarkan kepada kira-kira 3,400 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, disokong oleh rangkaian home dealer Farm Fresh yang merangkumi lebih 1,200 usahawan mikro. Program home dealer inovatif ini telah merevolusikan rangkaian pengedaran di kawasan luar bandar, menyediakan akses kepada produk Farm Fresh di kawasan yang tidak mempunyai pasar raya besar.
Melalui program unik ini, Farm Fresh memperkasa usahawan kecil untuk menjana pendapatan sambil mempromosikan kebaikan nutrisi produk tenusu dalam komuniti mereka. Inisiatif ini telah melayakkan Farm Fresh menerima ASEAN Inclusive Business Award 2020.
Sebagai sebahagian usaha meningkatkan taraf pendidikan, nutrisi dan kehidupan pelajar miskin tegar, Farm Fresh melancarkan Multidimensional Human Capital Development Programme pada 2023, dengan komitmen hampir RM2 juta untuk menubuhkan dan mengendalikan pusat komuniti khas.
Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Didik Negara, Farm Fresh kini telah membuka 10 pusat komuniti di Semenanjung Malaysia, menyediakan kelas pendidikan dan makanan
berkhasiat termasuk produk Farm Fresh kepada pelajar kurang bernasib baik.
Selain itu, Farm Fresh turut menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan bulanan kepada pelajar STPM dari keluarga B40 melalui Program Biasiswa Pelajar STPM Farm Fresh Berhad.
Melalui inisiatif ini, Farm Fresh berhasrat mewujudkan impak lebih mendalam dan berkekalan kepada pelajar kurang bernasib baik serta keluarga mereka, sambil menyumbang ke arah pembangunan bakat negara dan akses saksama kepada pendidikan dan nutrisi.
Segala usaha “doing well by doing good” ini telah membawa kepada kemenangan Farm Fresh dalam Anugerah Putra Brand tahun 2024 — meraih Platinum untuk kategori Minuman–Tenusu buat tahun keempat berturut-turut, selain meraih Putra Brand Marketer of the Year dan Putra Brand Icon of the Year.
Kemenangan Platinum empat tahun berturutturut mengukuhkan kedudukan Farm Fresh sebagai jenama tenusu No.1 Malaysia. Pengiktirafan ini mencerminkan sokongan tidak berbelah bahagi daripada para pengguna
sejak permulaan. Anugerah tersebut terus memberi inspirasi kepada Farm Fresh untuk terus berinovasi sambil mengekalkan janji menyediakan produk tenusu segar dan berkhasiat, di samping mengekalkan standard tertinggi untuk memenuhi jangkaan pengguna. – UTUSAN










