SEREMBAN: Kejayaan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Norfadhilah Mohamad Ali yang meraih penulisan tesis terbaik dalam Bidang Sosial Perundangan di Universiti of Dundee, Scotland United Kingdom pada 2014 telah memberikan inspirasi kepada pelajarnya.
Ia berkaitan bagaimana kerjaya akademik telah menjadi medan membina ilmu dan memberikan sumbangan kepada masyarakat.
Norfadhilah, 48, berkata, pengiktirafan antarabangsa itu adalah hasil usaha berterusan, pembacaan meluas serta jaringan penyelidikan yang dibangunkan sepanjang hampir dua dekad sebagai tenaga akademik.
“Ilmu tidak boleh hanya terperangkap dalam jurnal yang dibaca oleh segelintir sahaja. Ia mesti dikembangkan dan dimanfaatkan masyarakat.
“Daripada situ pelajar dapat melihat bahawa akademia bukan sekadar menulis tetapi menyumbang kepada kehidupan sebenar,” katanya.
Mengkhusus dalam bidang undang-undang antarabangsa, beliau berkata, ilmu perundangan tidak berdiri sendiri sebaliknya memerlukan kefahaman daripada pelbagai sudut termasuk nilai Islam, hak asasi manusia serta perkembangan teknologi semasa.
Menurutnya, cabaran utama pelajar hari ini ialah adaptasi kepada dunia digital, khususnya kecerdasan buatan (AI).
Beliau sehubungan itu sering membawa pendekatan dalam kuliah dengan mengajak pelajar meneliti data, memberi pandangan sendiri serta menulis hujah yang matang.
“AI dilihat membantu pelajar dalam mendapatkan data serta menyusun penulisan dengan lebih cepat namun wujud kebimbangan apabila gaya bahasa yang dihasilkan sering ringkas dan tidak mendalami konteks penuh sesebuah isu.
“AI tidak membaca keseluruhan buku dan gaya bahasa yang lahir daripadanya kurang bernuansa. Di sinilah pentingnya bimbingan guru agar pelajar tidak sekadar bergantung kepada mesin tetapi mampu memperhalusi tulisan mereka sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, pendidik perlu membuka ruang perbincangan dalam kelas, contohnya apabila AI memberikan jawapan mengenai topik hak asasi manusia, pelajar digalakkan mengkritik, menilai serta memberi pandangan berbeza.
Katanya, pemantauan berterusan penting bagi memastikan pelajar menggunakan teknologi itu sebagai alat penggayaan bahasa dan pemikiran, bukan menggantikan daya fikir mereka.
Dengan pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang pendidikan tinggi, Dr. Norfadhilah yakin bahawa kejayaan akademik bukan sahaja untuk kepuasan peribadi, tetapi menjadi teladan kepada generasi muda.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM, Haikal Nazhan Hamdan, berkata, AI dalam pendidikan tinggi bukan sekadar memperkasa cara belajar tetapi turut membentuk pelajar menjadi lebih kreatif dan berdaya saing.
Katanya, dunia pembelajaran kini jauh berbeza berbanding dahulu apabila AI membuka peluang untuk pelajar meneroka ilmu tanpa batasan.
“Dulu, sumber ilmu kita terhad, Sekarang dengan AI, pelajar boleh belajar lebih banyak perkara dalam masa singkat. Tugasan, kerja kursus dan penyelidikan menjadi lebih mudah diurus,” katanya.
Namun katanya, kecerdasan buatan hanyalah alat bantu dan bukan pengganti kepada usaha sebenar seorang pelajar.
“Dalam menyiapkan tesis misalnya, ketelusan dan keaslian sangat penting. AI sekadar panduan dan rangka untuk membantu.
“Kandungan sebenar mesti datang daripada pemikiran dan usaha sendiri. Itulah nilai seorang pelajar sejati,” ujarnya. – UTUSAN