Jangan takut mencabar diri – Tokoh Siswa Negara 2025

Jangan takut mencabar diri – Tokoh Siswa Negara 2025

Anugerah utama Tokoh Siswa Negara dimenangi oleh Ng Zhen Fan Shankar (tengah) dariUniversiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) di Putrajaya, baru-baru ini. – utusan/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tokoh bukan hanya dinilai di pentas anugerah, tetapi impak yang dibawa kepada komuniti.

Bagi penerima anugerah Tokoh Siswa Negara 2025, Ng Zhen Fan Shankar, 26, yang berasal dari Klang, Selangor, percaya bahawa kepimpinan bukan sekadar gelaran, tetapi tanggungjawab yang perlu digalas.

Langkahnya dalam dunia kepimpinan bermula sejak di bangku sekolah, dari platform kepimpinan sehingga ke platform kesukarelaan, Zhen Fan tidak letih membina bakti.

Dilahirkan dalam keluarga campuran Cina-India, bukan sahaja memberi kelebihan kepada Zhen Fan untuk bertutur dalam pelbagai bahasa, malah kejayaannya sebagai tokoh siswa menjulang nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di pentas nasional.

“Empat tahun berada dalam Majlis Perwakilan Pelajar dan lebih 15 tahun terlibat dalam pelbagai peranan kepimpinan merupakan proses untuk membina diri.

“Saya percaya jika diberi peluang, kita harus membalasnya dengan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui Utusan Pelajar pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025 di sini, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Mengulas lanjut, Zhen Fan yang kini bertugas sebagai pembantu penyelidik, sambil melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang perakaunan, berpesan kepada pelajar lain agar tidak takut mencabar diri dan sentiasa percaya bahawa mereka mampu menjadi pemimpin masa depan.

“Saya masuk ke UPSI dengan satu harapan iaitu menyumbang kembali kepada universiti dan masyarakat. Saya merupakan penerima biasiswa penuh KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) dan bagi saya kepercayaan itu perlu dibalas dengan tanggungjawab dan sumbangan sebenar.

“Saya bukan sempurna, tapi saya percaya setiap cabaran membentuk kita menjadi lebih kuat. Jangan duduk di zon selesa, kita perlu keluar dan cipta perubahan,” ujarnya.

Menerusi ATSN, sebanyak 11 kategori individu dipertandingkan meliputi kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.

Selain itu, ATSN turut menawarkan Anugerah Sinergi Kepimpinan (kategori berkumpulan) serta empat Anugerah Penghargaan Khas (Menteri Pendidikan Tinggi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Ketua Setiausaha KPT dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi) manakala Anugerah Tokoh Siswa Negara merupakan anugerah utama yang ditawarkan.

Pemenang ATSN 2025 menerima trofi eksklusif, sijil pengiktirafan rasmi KPT, wang tunai bernilai RM1,000 hingga RM5,000, geran mobiliti akademik RM2,000, serta tawaran biasiswa dalam atau luar negara.

Sebanyak 246 penyertaan dari Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti diterima dengan 75 calon berjaya ke peringkat akhir.

Universiti Malaysia Sabah (UMS) turut melakar sejarah apabila Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2023/2024 diumumkan sebagai penerima Anugerah Sinergi Kepimpinan Siswa ATSN 2025.

Presiden MPP Sesi 2023/2024 UMS, Roslan Abdullah berkata, kejayaan itu menjadi bukti kemampuan mahasiswa Sabah bersaing di peringkat nasional dalam aspek kepimpinan dan pembangunan sahsiah.

“Alhamdulillah, anugerah ini menjadi pemangkin kepada mahasiswa UMS, khususnya dari Sabah, untuk terus menonjol bukan hanya dalam akademik tetapi juga dalam aktivisme mahasiswa dan kepimpinan.

“Kami percaya kemenangan ini hasil usaha kolektif seluruh barisan MPP yang telah bekerja keras memperjuangkan pelbagai isu mahasiswa sepanjang tempoh pentadbiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN