Melihat pesawat pejuang, helikopter, peralatan ketenteraan dan aksi mendebarkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ketika menonton di kaca televisyen sudah cukup memukau rata-rata rakyat di negara ini.
Namun, menyaksikan sendiri kecanggihan aset TUDM secara langsung di hadapan mata, dengan deruman enjin helikopter membelah langit serta aksi lasak anggota Pasukan Khas Udara (PASKAU) menggetarkan jiwa – memberi pengalaman luar biasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Itu peluang yang diberikan TUDM kepada masyarakat dengan menampilkan aset serta keupayaan sebagai salah satu cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan ruang udara negara sempena Hari Terbuka Pangkalan Udara Subang 2025 pada 4 dan 5 Oktober lalu.
Penganjuran acara tersebut diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Jubli Delima Pangkalan Udara Subang.
Bagi Komander Pangkalan Udara Subang, Brigadier Jeneral Yusri Jamari TUDM, penganjuran acara sedemikian disifatkan sangat penting bagi memperkukuh hubungan kerjasama awam dan tentera atau lebih sinonim dengan singkatan CIMIC (Civil-Military Cooperation).
Katanya, penganjuran hari terbuka seumpama itu bukan sahaja menjadi mekanisme penting yang menghubungkan TUDM dan masyarakat, tetapi menggalakkan masyarakat mengekalkan keamanan dan keselamatan yang kini tidak lagi didominasi jentera kerajaan semata-mata, tetapi dipikul bersama rakyat Malaysia melalui pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP).
“Apabila masyarakat datang acara sebegini, ia secara tidak langsung memberi pendedahan kepada orang awam dengan lebih dekat tentang aset-aset milik TUDM dan memahami tugas serta peranan kita.
“Malah, mereka boleh berinteraksi secara terus dengan pegawai dan anggota TUDM sekiranya ada apa-apa kemusykilan atau pertanyaan berkenaan tugas kami mahupun aset-aset sedia ada,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

sebahagian aset
TUDM yang
dipamerkan dalam
Hari Terbuka
Pangkalan
Subang.
Sebagai rekod, Program CIMIC seumpama ini mendukung Pelan Strategik MINDEF (2021-2025) di bawah Teras 4, dengan matlamat memperkasakan kerjasama menyeluruh masyarakat bersama tentera.
Usaha ini mencerminkan aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menekankan konsep Pertahanan Komprehensif berteraskan tanggungjawab bersama, demi mengekalkan keamanan negara serta menjadikan Malaysia sebuah negara yang harmoni, selamat, berdaulat dan makmur.
Hari Terbuka Pangkalan Udara Subang 2025 pada 4 dan 5 Oktober dihadiri lebih 50,000 pengunjung dengan turut disertai agensi kerajaan lain serta pelbagai pihak seperti Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT); Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM yang mencuri tumpuan apabila melakukan aksi ‘abseiling’ dalam demonstrasi menyelamat tebusan bersama PASKAU.
Antara aset-aset yang dipamerkan dalam program tersebut ialah Su-30MKM; F/A-18D; Hawk; A400M, C130H, Black Hawk dan EC725 selain aktiviti menarik seperti demonstrasi PASKAU; persembahan pancaragam dan fire fighter show bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang.
Suasana sekitar pangkalan bertambah meriah dengan persembahan oleh Kumpulan Muzik Kesenian (MUKES) TUDM, pertunjukan Fire Fighter Show serta deretan reruai pameran dan gerai jualan yang menarik minat pengunjung pelbagai lapisan usia.
Dalam pada itu, Yusri berharap dengan adanya program sedemikian, hubungan dan kerjasama antara warga tentera terutama TUDM dan masyarakat dapat terjalin lebih erat.
“Apabila kita saling kenal mengenali, iaitu tentera dan masyarakat, ia membina ikatan perhubungan untuk memperkukuh aspek pertahanan negara.
“Paling penting, sudah tentu ia dalam masa yang sama memberi motivasi kepada anggota tentera untuk menjaga keamanan negara,“ jelasnya.
Teruja tengok aset
Bagi Mohamad Syafiq Suparman, 41, berkata, program ini merupakan peluang terbaik untuk keluarganya melihat dengan lebih dekat aset-aset tentera.
“Kami sekeluarga akan berusaha datang ke hari terbuka ini supaya isteri dan anak-anak tahu dan memahami bagaimana tugas tentera menjaga keamanan negara.
“Di samping itu, saya mahu anak dan isteri menyaksikan demonstrasi PASKAU yang tentunya mengujakan sesiapa sahaja dengan pelbagai aksi,” jelasnya.
Bagi Siti Nornisa Rusli, 46, dia yang datang dari Klang, Selangor sanggup berpanas semata-mata tidak mahu ketinggalan melihat secara dekat serta bergambar bersama anggota dan aset TUDM.
Dia datang bersama 10 ahli keluarganya termasuk bapanya tidak merasakan kedatangan mereka ke situ adalah sia-sia.
“Pertunjukan seperti ini bagus kerana bukan senang hendak dapat masuk ke dalam pangkalan udara ini dan saya rasakan ia cara terbaik untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan anak muda,” katanya. – UTUSAN