TAPAH: Kematian suami tiga tahun lalu tidak mematahkan semangat Siti Fatimah Osman, 61, untuk bergelar usahawan berjaya menerusi perniagaan makanan yang diusahakan dengan bantuan agensi kerajaan negeri.
Siti Fatimah dari Kampung Tersusun Muhibbah, Batu 33, Jalan Temoh di sini menjalankan perniagaan berkaitan makanan iaitu pes sambal ikan talang, balado, goreng ikan bilis, rendang ayam, daging, tempoyak ikan bilis, pekasam cendawan selain donut dan memperoleh pendapatan stabil mencecah empat angka sebulan.
Katanya, walaupun kelulusannya sekadar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), komitmen agensi kerajaan negeri terutama Jabatan Pertanian Perak dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) membantu golongan wanita negeri terutama ibu tunggal sepertinya.
“Jabatan Pertanian Perak membantu dalam bentuk geran untuk membina bengkel yang lengkap dan selesa, menjadikan kerja-kerja menghasilkan produk menjadi lebih mudah dan cekap.
“Selain itu, pegawai jabatan itu sering melawat saya di premis bagi memastikan kelangsungan perniagaan selain memberi konsultansi memperkembangkannya secara konsisten,” katanya yang mempunyai empat anak.
Ujarnya, STeP menghulurkan bantuan geran bernilai RM2,000 berbentuk peralatan dapur, peti sejuk dan periuk nasi selain melibatkannya dalam ekspo dan pameran sekitar negeri ini.
“STeP juga membantu dalam proses mendapat paten pendaftaran logo atau cap dagangan jenama CTYZA menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia selain memberi khidmat nasihat bagi mendapat pensijilan halal dan pengiktirafan Kementerian Kesihatan untuk pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri atau MeSTI.
“Penglibatan dalam ekspo dan pameran agensi i itu juga menyumbang kepada aliran pendapatan berterusan perniagaan yang diasaskan sejak 2017,” katanya.
Siti Fatimah turut menjadi tenaga pengajar bagi kursus berkaitan produk makanan terutama pes, bakeri dan kuih muih berbentuk sejuk beku kepada golongan wanita tanpa mengira peringkat umur dan golongan di negeri ini demi memperkasa kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Syukur ramai dalam kalangan yang mengikuti kursus melangkah dalam perniagaan bagi membantu menambah pendapatan keluarga terutamanya suri rumah.
“Selain itu, ada usahawan sedia ada mengambil peluang untuk mengembangkan perniagaan dengan menambah varian produk kepada pelanggan,” katanya.
Pencapaian Siti Fatimah menepati pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Batang Padang dengan tumpuan utama melibatkan Hab Pendidikan dan R&D. Bantuan itu selaras flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship keempat, Koridor TVET Malaysia.
Selain itu, flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Warga 1 Skill dan 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat. – UTUSAN










