GERIK: Pelbagai jenis tanaman telah dicuba, namun tanaman kopi Perak varieti Liberica paling berjaya diusahakan oleh seorang penduduk Kampung Selarong, Pengkalan Hulu dekat sini.
Hazian Hamid, 65, berkata, sejak lima tahun lalu dia mencuba menanam betik, pisang dan sebagainya di atas tanah wakaf yang dimohonnya melalui Baitulmal seluas lebih kurang tiga ekar tetapi pelbagai cabaran terpaksa dihadapi, sedangkan hasil tidak seberapa.
“Atas nasihat Pejabat Pertanian Daerah, pada 2022 saya beralih menanam kopi varieti Liberica. Mereka banyak tunjuk ajar saya yang bermula daripada menyemai benih, menanam, membaja dan menjaga pokok sehinggalah penuaian buah mereka mengajar saya, penjualan pun mereka bantu saya dapatkan pemborong biji kopi.
“Banyak ilmu dan tunjuk ajar yang mereka berikan kepada saya, malah mereka juga banyak menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti biji benih, anak pokok, baja, paip air dan sebagainya bagi membolehkan saya terus mengusahakan tanaman kopi ini,” katanya.
Bantuan yang diterima Hazian selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche Hulu Perak sebagai daerah pertanian berteknologi tinggi untuk meningkatkan pengeluaran dan juga mempromosikan ekonomi berasaskan biodiversiti, khususnya melalui pelancongan warisan dan ekopelancongan.
Inisiatif itu bertujuan untuk mengarusperdanakan ekonomi daerah melalui pendekatan yang mampan dan lestari.
Ia juga selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima,
Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan rakyat.
Hazian berpuas hati apabila Jabatan Pertanian juga membantunya mendapatkan pasaran untuk menjual biji kopi dan biasanya syarikat Kopi Sik sering mendapatkan bekalan daripadanya.
Katanya, kopi Perak varieti Liberica mempunyai rasa premium yang unik dengan aroma buahnya yang kuat, rasa kurang pahit dan kandungan kafein yang lebih rendah dibandingkan kopi lain.
“Saya bercadang untuk dapatkan mesin memproses biji kopi, jika boleh saya mahukan sebuah mesin memproses kulit biji kopi, mesin pemanggang biji kopi, mesin penghancur sehinggalah ke peringkat pembungkusan.
“Saya harap Jabatan Pertanian dan agensi-agensi berkaitan dapat membantu saya untuk merealisasikan impian dan harapan ini bagi mengembangkan lagi penanaman serta penghasilan produk kopi ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Menurut Hazian, kopi Perak jenis Liberica mempunyai daya tahan terhadap penyakit dan dapat tumbuh di berbagai ketinggian, memungkinkan fleksibiliti dalam penanamannya.
Penanaman pokok kopi itu juga katanya tidak banyak kerenah ataupun masalah, kurang penyakit dan setelah ditanam dan membesar, ia tidak perlu penjagaan terlalu rapi.
Katanya, cuma tanaman memerlukan baja yang cukup, siraman air jika musim kemarau dan kurang serangan serangga perosak lantas membolehkan anak pokok sebanyak 1,500 membesar dengan baik.
“Setahun saya boleh menuai hasil sebanyak dua kali, sehingga kini saya berhasil menuai buahnya sebanyak lima kali yang bermula hanya 500 kilogram (kg) dan kini hampir 1,500kg.
“Setakat ini hanya saya seorang sahaja yang mengusahakan tanaman ini dan dibantu oleh keluarga tetapi apabila musim menuai saya beri peluang pekerjaan kepada orang kampung untuk mengutip kopi-kopi yang telah masak,” katanya. – UTUSAN










