Kerajaan peka kos sara hidup terkini

Kerajaan peka kos sara hidup terkini

ORANG ramai berbelanja memanfaatkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), dan bantuan Penghargaan SARA RM100, di Pusat Membeli Belah Mydin USJ, di Petaling Jaya, baru-baru ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan MADANI terus membuktikan keprihatinan terhadap cabaran kos sara hidup rakyat apabila jumlah keseluruhan bantuan tunai menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan sehingga RM4,600 seorang pada 2025, berbanding RM2,500 pada 2022.

Langkah ini menyaksikan penambahan SARA sebanyak RM2,100 bagi setiap penerima yang layak sepenuhnya, sejajar dengan usaha kerajaan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Peningkatan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela, khususnya golongan miskin tegar, warga emas dan isi rumah berpendapatan rendah.

Setakat Ogos 2025, penerima STR mencecah 8.6 juta orang, manakala penerima SARA melibatkan 5.4 juta isi rumah dengan jumlah keseluruhan peruntukan melebihi RM13 bilion.

Bagi kategori isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah, jumlah manfaat tahunan boleh mencecah RM4,600, merangkumi STR sehingga RM2,500 dan SARA sebanyak RM2,100.

Dalam pada itu, isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 menerima bantuan sehingga RM2,150, manakala warga emas bujang berpendapatan di bawah RM5,000 menikmati manfaat sehingga RM2,250 setahun.

Selain itu, golongan bujang berusia 21 hingga 59 tahun dengan pendapatan tidak melebihi RM2,500 turut tidak terkecuali, apabila mereka layak menerima bantuan sehingga RM1,200 setahun.

Profesor Madya di iCATS University College, Kuching, Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kenaikan jumlah bantuan tunai di bawah program STR dan SARA jelas membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup yang semakin mencabar.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terbela, malah memberi keyakinan bahawa setiap lapisan masyarakat

“Ini khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terus mendapat perlindungan sewajarnya.

“Dalam konteks ekonomi semasa yang dipengaruhi kenaikan harga barangan keperluan, bantuan ini dilihat mampu menjadi penampan kepada tekanan perbelanjaan harian isi rumah.

“Ia juga menegaskan bahawa dasar fiskal kerajaan kekal berpaksikan rakyat, dengan keutamaan diberikan kepada usaha menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dan kebajikan sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, lebih penting, peningkatan nilai bantuan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk bertindak proaktif serta menyalurkan sokongan secara langsung, agar rakyat dapat merasai manfaat segera dalam menghadapi cabaran kos sara hidup semasa.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, bantuan-bantuan untuk rakyat ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang berada dalam kelompok berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kita juga dapat melihat bahawa peruntukan bagi bantuan tunai tersebut semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Sebagai contoh, pada asalnya bantuan ini diperuntukkan sekitar RM13 bilion, namun dengan pengumuman pertambahan sebanyak RM2 bilion baru-baru ini, jumlah keseluruhan peruntukan tahun ini meningkat kepada RM15 bilion.

“Angka ini jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan peruntukan tahun lalu yang berjumlah RM10 bilion,” katanya.

Sehingga Ogos 2025, kerajaan telah menyalurkan lebih RM6 bilion bagi STR, manakala penyaluran SARA mencatat RM2.48 bilion.

Kerajaan juga memperkenalkan pengecualian deposit bagi penukaran nama akaun bil elektrik rumah sewa atau rumah diduduki, sekali gus memberi kelegaan tambahan kepada golongan miskin tegar.

Afzanizam berkata, fokus utama kerajaan adalah memastikan kerangka ekonomi yang dirangka benar-benar menepati sasaran yang ditetapkan, termasuk pendekatan ekonomi mampan yang digambarkan melalui konsep lantai ekonomi dan siling ekonomi.

“Konsep ini amat berkait rapat dengan bagaimana kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat, khususnya keluarga rentan.

“Jadi, usaha kerajaan untuk menyusun semula perbelanjaan akan membuka lebih banyak ruang bagi kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat, terutamanya keluarga yang benar-benar layak,” ujarnya.

Seiring itu, kerajaan MADANI turut mengekalkan penggunaan MyKad sebagai medium utama pengagihan bantuan bersasar menerusi skim seperti SARA yang turut berpotensi diperluaskan kepada kawalan pembelian bahan api RON95 bagi memastikan hanya golongan layak menikmati harga subsidi.

Kaedah tersebut bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengagihan, tetapi juga membantu kerajaan mengurangkan ketirisan serta memperkukuh pengurusan fiskal negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN