Kejohanan Golf Amal RMHC kumpul RM430,000

Kejohanan Golf Amal RMHC kumpul RM430,000 bantu kanak-kanak kurang bernasib baik

AZMIR Jaafar (tiga dari kanan) bersama wakil wakil penerima dana perubatan dari enam pertubuhan kebajikan pesakit kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC Malaysia) berjaya mengumpul dana bersih berjumlah RM430,000 menerusi Kejohanan Golf Amal edisi ke-32 yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort, baru-baru ini.

Acara yang menghimpunkan seramai 118 pemain golf dan 45 penaja itu turut mencatat kutipan kasar sebanyak RM604,000.

Dana tersebut akan digunakan untuk melaksanakan program utama RMHC Malaysia yang memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh negara.

Antara program yang bakal menerima manfaat termasuklah Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Anugerah Senyuman dan Program Pek Kembali ke Sekolah.

Presiden RMHC Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, kejohanan itu bukan acara sukan semata mata tetapi menjadi talian hayat kepada ribuan kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan.

Menurutnya, sokongan luar biasa yang diterima tahun ini membolehkan RMHC terus menyediakan perkhidmatan penting untuk mengatasi halangan, mengukuhkan hubungan keluarga dan menggalakkan proses pemulihan.

“Setiap ringgit yang disumbangkan memberi erti yang besar dalam merubah kehidupan seorang kanak kanak. Kemurahan hati yang ditunjukkan hari ini memberi harapan baharu kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat, rakan korporat dan orang ramai untuk terus bersama dalam misi RMHC memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang untuk masa depan yang sihat dan penuh harapan.

Sejak penubuhannya pada 1990, RMHC Malaysia telah menyalurkan lebih RM60 juta untuk membantu lebih 200,000 kanak-kanak dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Empat Rumah Ronald McDonald yang beroperasi berhampiran hospital di seluruh negara menjadi tempat penginapan sementara kepada keluarga yang menemani anak sedang dirawat.

Inisiatif itu membolehkan keluarga berada dekat dengan anak sepanjang rawatan kritikal disamping menjimatkan kos perjalanan dan penginapan.

Selain itu, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald pula menyediakan ruang terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas yang membantu perkembangan anak-anak yang mempunyai masalah seperti austisme, ADHD dan gangguan pemprosesan deria.

Program Anugerah Senyuman atau Gift of Smile pula membiayai pembedahan yang diperlukan untuk anak anak yang dilahirkan dengan klef (sumbing) bibir dan lelangit.

Selain mengembalikan senyuman, pembedahan itu juga memulihkan keyakinan diri, keupayaan bertutur untuk berinteraksi dengan baik.

Program Pek Kembali ke Sekolah pula membantu mengurangkan beban kewangan keluarga dengan menyediakan kelengkapan asas persekolahan seperti uniform dan perkakasan sekolah.

Dalam kejohanan kali ini, RMHC Malaysia turut menyampaikan geran perubatan berjumlah RM300,000 kepada enam pertubuhan kebajikan pesakit kanak-kanak di seluruh negara.

Antara penerima termasuk Yayasan IJN, Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital USM (PEKA), Tabung Kebajikan Pesakit HPKK UKM, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah, PPUMCare dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia HWKKS.

RMHC juga menerima sumbangan dari pelanggan McDonald’s melalui tabung dan kiosk pemesanan di restoran-restoran McDonald’s seluruh negara disamping sumbangan rakan korporat melalui acara-acara seperti kejohanan golf amal RMHC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN