BERNAS Perkasa Masa Depan Beras Negara

BERNAS Perkasa Masa Depan Beras Negara: Tradisi, Teknologi dan Tanggungjawab

BERNAS memperkasa golongan pesawah dan melindungi bekalan beras negara menerusi penggunaan peralatan pertanian moden sehingga ke pemantauan cuaca.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap kali kita menyuap nasi ke mulut, ada satu persoalan besar yang jarang kita fikirkan – dari manakah datangnya bekalan beras negara dan mampukah ia bertahan untuk generasi akan datang?

Dengan populasi Malaysia dijangka mencecah 40 juta orang menjelang 2050, permintaan beras terus meningkat sekitar 0.5 peratus setahun. Namun, berdepan cabaran perubahan iklim, kos input pertanian yang tinggi dan kekurangan tenaga kerja muda, keterjaminan beras negara semakin menjadi isu mendesak.

Menurut Ketua Unit Agronomi Ladang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Dr. Nur Firdaus Mohamed Yusof, beras bukan sekadar makanan ruji, sebaliknya ia adalah nadi keselamatan makanan negara.

“Rakyat Malaysia makan purata 76.7 kilogram beras seorang setahun. Jumlah keseluruhan mencecah hampir 2.6 juta tan setahun. Namun, hanya sekitar 60% dibekalkan hasil pengeluaran tempatan, manakala bakinya bergantung kepada import,” katanya kepada Utusan Malaysia.

NUR FIRDAUS MOHAMED YUSOF

Misi 80% Sara Diri Menjelang 2030

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mensasarkan tahap Sara Diri (SSL) beras meningkat ke 80% menjelang 2030. Antara langkahnya termasuk pengenalan varieti padi umur pendek (CL3, CL4) serta projek lima musim penanaman dalam tempoh dua tahun.

BERNAS pula, sebagai rakan strategik utama kerajaan, menjadi pemacu pelbagai transformasi industri bagi memastikan bekalan beras sentiasa stabil.

Antara program utama ialah SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang menyatukan pesawah dalam kelompok besar di bawah pengurusan berpusat.

Jika dahulu petani bekerja secara kecil-kecilan dengan cara tradisional, kini semua aktiviti, daripada membajak, menanam, mengawal penyakit hingga menuai dilakukan serentak mengikut jadual ladang.

“Bila kos jentera, baja dan racun ditanggung bersama, ia jauh lebih jimat. Petani juga hanya gunakan input mengikut kadar sebenar, bukan lagi beli sebotol penuh tetapi terbuang separuh,” jelas Dr. Nur Firdaus.

Lebih penting, semua benih yang digunakan ialah benih sah daripada syarikat dilantik kerajaan, yang diuji percambahan dan ketulenannya di makmal BERNAS sebelum sampai ke sawah.

Menangani Cabaran Cuaca dan Perosak

Perubahan iklim menjadi musuh utama pesawah. Hujan luar jangka ketika musim menuai boleh memusnahkan hasil sehingga 80%.

Untuk mengurangkan risiko, BERNAS menggunakan sistem ramalan cuaca berasaskan IoT melalui Farm Monitoring Solution (FMS), yang memantau keadaan cuaca radius 50km dan membantu pesawah membuat keputusan menuai lebih awal.

Selain itu, BERNAS turut menyediakan skim subsidi harga padi (SSHP), menyalurkan bantuan jentera percuma kepada ketua tani, serta menguruskan kos penyelenggaraan tahunan bagi mengurangkan beban pesawah yang sering terkesan dengan bencana.

Membawa Generasi Baharu ke Sawah

Hakikatnya, majoriti pesawah kini berusia 50 tahun ke atas, sementara anak muda kurang berminat menyambung legasi keluarga.

BERNAS percaya kuncinya ialah modernisasi pertanian. Melalui teknologi seperti penderiaan jauh (PSSS), dron multispektrum dan sistem pemanduan automatik jentera, sawah kini boleh diurus dari hujung jari.

“Dengan telefon pintar sahaja, generasi muda boleh memantau kesihatan tanaman, laluan traktor dan status ladang. Ini menjadikan pertanian lebih moden, sistematik dan menarik,” kata Dr. Nur Firdaus.

Melalui Farm Monitoring Solution, cuaca di kawasan beradius 50km membantu pesawah membuat keputusan menuai lebih awal.

Rakan Tani Pintar AI: Nasihat Segera di WhatsApp

Lebih menarik, BERNAS memperkenalkan aplikasi Rakan Tani Pintar AI, suatu platform kecerdasan buatan pertama dalam sektor pertanian negara.

Dibangunkan bersama Global AI Village dan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), sistem ini membolehkan pesawah bertanya tentang penyakit padi, kawalan perosak, jadual penanaman dan kemasukan air melalui WhatsApp dengan jawapan segera berdasarkan manual rasmi Jabatan Pertanian iaitu Rice Check dan Jadual Kerja Ladang BERNAS.

“Ia ibarat pakar pertanian di hujung jari, membantu petani membuat keputusan cepat dan tepat tanpa perlu tunggu pegawai turun ke lapangan,” jelasnya.

Menjaga Setiap Butir Nasi Rakyat

Walaupun strategi import berperanan sebagai pelindung, misi sebenar BERNAS adalah memastikan pengeluaran tempatan terus meningkat, seiring matlamat SSL 80%.

“Setiap butir beras ada cerita. Di belakangnya ada keringat petani, teknologi baharu, dan tanggungjawab nasional. BERNAS berdiri di tengah, menghubungkan tradisi dengan inovasi demi memastikan nasi di pinggan rakyat Malaysia tidak pernah terputus,” kata Dr. Nur Firdaus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN