PETALING JAYA: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, semangat perpaduan terserlah di Kampung Sri Batu, apabila pelbagai aktiviti sukan rakyat dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di kawasan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sri Batu, Amran Sulaiman berkata, program yang berlangsung di bawah gagasan Malaysia Madani Rakyat Disantuni itu berjaya menghimpunkan penduduk daripada pelbagai latar belakang dalam suasana penuh meriah dan harmoni.
Walaupun terletak berdekatan kawasan pembangunan moden komuniti Kampung Sri Batu tetap teguh mengekalkan tradisi serta menjadikan sukan rakyat sebagai wadah penyatuan masyarakat.
“Pelbagai acara unik termasuk tarik tali sebelah tangan, boling kelapa, dam ular gergasi, radio karat serta keretapi panjang yang menjadi tumpuan segenap lapisan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, turut diadakan pertandingan bola jaring dan sepak takraw turut menguji kecekapan serta kerjasama pasukan, sekali gus memupuk semangat kejersama dalam kalangan peserta.
Menurut Amran, penganjuran sukan rakyat bukan sekadar hiburan, sebaliknya medium terbaik untuk menyemai nilai murni seperti kerjasama, toleransi dan hormat-menghormati.
“Dalam setiap sorakan, gelak tawa dan keringat yang tumpah, lahirnya ikatan kejiranan yang semakin kukuh. Keharmonian ini harus diwarisi kepada seluruh rakyat demi keamanan yang hakiki,” katanya.
Beliau menyatakan, perpaduan yang dipamerkan melalui aktiviti masyarakat itu mencerminkan tema kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Madani Rakyat Disantuni, selain memberi inspirasi kepada generasi muda untuk meneruskan semangat tersebut.
Tambahnya, walaupun pembangunan pesat berlaku di sekelilingnya, Kampung Sri Batu tetap menjadi contoh sebuah komuniti yang relevan dengan mengutamakan semangat kejiranan dan kesepakatan.
“Sukan rakyat di Kampung Sri Batu membuktikan bahawa nilai kemerdekaan, perpaduan dan keamanan dapat terus diperkasakan, menjadikan kampung tradisi itu cerminan sebenar Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa yang bersatu padu,’ katanya. – UTUSAN