KOTA TINGGI: Seramai 29 orang Penggerak Watan RISDA (PEWARIS) peringkat negeri Johor menerima watikah pelantikan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Johor, semalam.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, penyerahan watikah itu turut diberikan kepada seorang Ketua PEWARIS dan seorang Penyelaras Negeri.
Menurutnya, pelantikan itu bukan hanya sekadar jawatan tetapi amanah besar yang akan dipikul dalam memartabat pembangunan desa.
“PEWARIS adalah ejen strategik komuniti yang menjadi jambatan penghubung antara RISDA dan para pekebun kecil. Mereka berperanan memastikan dasar, polisi dan inisiatif kerajaan sampai kepada rakyat secara tepat dan berkesan.
“Lebih daripada itu, PEWARIS juga berfungsi sebagai suara komuniti kepada RISDA, membantu memperkukuh saluran komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.
“Dengan peranan ini, PEWARIS dapat memperkasa penyampaian maklumat, meningkatkan sokongan masyarakat dan membina keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Watikah PEWARIS dan Sumbangan Yayasan RISDA kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Tenggara di Dewan Kejora Bandar Tenggara di sini, semalam.
Katanya, beliau percaya melalui dedikasi dan semangat kerjasama, PEWARIS mampu menjadi penggerak perubahan positif di peringkat akar umbi.
Turut hadir Pengarah RISDA Johor, Muhd. Khairuddahri Abd. Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan RISDA, Wan Mohd Hafiz Wan Ibrahim, Ketua PEWARIS, Zarina Mohamed Bain dan Pengetua SMK Bandar Tenggara, Husni Ibrahim.
Pada majlis sama turut diadakan penyampaian sumbangan Yayasan RISDA berjumlah RM100,000 untuk SMK Bandar Tenggara.

Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, sumbangan berkenaan adalah bukti komitmen berterusan RISDA dalam menyokong pendidikan anak-anak pekebun kecil dan ia menjadi nilai tambah kepada usaha kerajaan dalam menyantuni warga desa.
“Ia bukan sekadar sumbangan berbentuk kewangan, malah satu pelaburan jangka panjang yang menyasarkan pengurangan jurang ekonomi desa melalui pendidikan berkualiti.
“Kita mahu anak-anak desa bukan sahaja berjaya menamatkan persekolahan, malah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, justeru mereka dapat membina kerjaya yang cemerlang dan menyumbang semula kepada pembangunan komuniti.
“Tidak mustahil, suatu hari nanti, akan ada antara pelajar yang menerima manfaat daripada sumbangan ini hari ini akan berdiri di sini sebagai pemimpin, mungkin sebagai teknokrat negara atau bahkan sebagai Pengerusi RISDA atau Ahli Parlimen Tenggara,” katanya.
Beliau memaklumkan, selaras dengan Aspirasi Desa Madani yang dicetuskan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, RISDA komited melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi seperti pembangunan ekonomi pekebun kecil dan latihan kemahiran belia, desa, pemodenan industri getah serta penggunaan teknologi pintar dalam pertanian yang akan meningkatkan hasil pengeluaran. – UTUSAN