Sumbangan kecil tetapi amat bermakna bagi keluarga Ismail

Sumbangan kecil tetapi amat bermakna bagi keluarga Ismail

PAINAH Ismail dan abangnya, Kamarudin Ismail menunjukkan bumbung rumah keluarga mereka yang diganti baharu oleh Yayasan Perak di Kampung Jawa, Tapah Road, Tapah. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Sumbangan yang diberikan mungkin kecil namun amat besar maknanya buat seorang warga emas yang menerima bantuan baik pulih bumbung rumah daripada kerajaan negeri.

Ismail Mangun, 89, menerima bantuan tersebut menerusi Yayasan Perak, selaras dengan pelan Perak Sejahtera 2030 dalam aspek Perumahan Sejahtera dan Membasmi Miskin Tegar 2025.

Ia merupakan idea dicetuskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat.

Sumbangan itu amat diperlukan oleh Ismail, yang mengalami masalah kesihatan kerana fakfor usia dan kini dijaga oleh anak ketiganya, Painah Ismail, 61, di Kampung Jawa, Tapah Road di sini.

Rumah tersebut didiami Ismail, tiga orang anaknya termasuk anak lelakinya iaitu orang kelainan upaya (OKU) fizikal dan seorang cucunya yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah berdekatan.

Painah berkata, kediaman bapanya terutama bahagian bumbung mula rosak kerana telah usang selain kayu-kayu yang menjadi penguatnya dimakan anai-anai.

Menurutnya, ini menyebabkan strukturnya tidak stabil dan membahayakan kepada penghuni sekiranya tidak dibaik pulih dengan segera.

“Saya bersyukur kerana tindakan segera kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak di bawah Program Sayangi Rumahku yang mengambil langkah pantas menukar kesemua bumbung yang rosak.

“Kalau hendak gantikan bumbung rumah guna wang sendiri, kami tiada modal kerana pendapatan kami tidak seberapa. Hanya cukup untuk membayar bil utiliti dan keperluan asas seharian untuk kami berlima.

“Saya difahamkan kos baik pulih itu menelan belanja sebanyak RM16,000 dan siap sepenuhnya dalam beberapa hari sahaja. Kami tidak lagi khuatir tentang keselamatan selain boleh tinggal dengan selesa,” katanya.

Menurutnya, bumbung baharu itu membolehkan mereka berlima menjalani kehidupan dengan baik berbanding sebelum ini.

“Bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir yang memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Painah juga menghargai Mohamad Yusri atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Yusri, yang kerap turun padang membantu dan menghulurkan bantuan kepada keluarganya termasuk bantuan kotak makanan, kewangan selain bantuan kerusi roda bagi bapanya.

“Cikgu Yusri, Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang dan Ketua Kampung Jawa Tapah Road sentiasa mengambil berat perihal keperluan kami sekeluarga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN