GOPENG: Produk ‘siap dimakan’ jenama Tumise semakin dikenali di peringkat antarabangsa menerusi bantuan promosi pelbagai pihak terutama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).
Muhammad Syakir Abdullah, 32, yang mengusahakan produk itu sejak empat tahun lalu berkata, STeP membantu produknya berkembang menerusi ekspo tempatan dan antarabangsa.
Katanya, strategi pemasaran berdasarkan kursus dan bengkel yang dianjurkan kerajaan negeri terutama STeP meluaskan lagi pasaran produknya seperti daging dendeng, sambal bilis garing, sambal tumis nasi lemak dan rendang asam pedas yang dihasilkan di Malim Nawar.
“Promosi STeP dan lain-lain agensi bukan sekadar melalui fizikal tetapi melalui strategi pemasaran sepert Facebook dan Tik Tok yang terbukti berkesan. Bantuan melalui pameran dan ekspo membolehkan jangkauan produk saya hingga ke Singapura dan Brunei.
“Tunjuk ajar dan pemantauan yang berterusan daripada STep membolehkan jenama Tumise kekal dinamik dalam situasi ekonomi semakin mencabar.
“Bantuan promosi yang saya terima daripada agensi kerajaan negeri bertepatan dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam aspek kesejahteraan ekonomi,” katanya.
Muhammad Syakir yang juga Pengarah Urusan YBS Abrah Sdn. Bhd. berkata, dia memilih produk ‘siap dimakan’ itu kerana produk sedemikian berpotensi tinggi untuk berkembang.
Bermodalkan RM2,000 pada awal pembabitan, kini dia bangga apabila jualan kasar produknya di bawah jenama ‘Tumise’ mencecah lima angka sebulan.
“Semuanya bermula dengan sekadar mencuba resipi makanan tradisi di dapur rumah ayah di Malim Nawar, Kampar. Setelah melihat potensinya selain dorongan daripada keluarga menyebabkan saya tekad mengeluarkan produk sendiri,” katanya.
Kini katanya, perniagaan itu boleh menjana pendapatan mencecah lima angka sebulan dan dia mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada 12 orang.
Katanya, bantuan geran menerusi Program Agropreneur Muda Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebanyak RM15,000 dua tahun lepas turut membantunya mengembangkan lagi perniaagan.
“Saya turut mendapat bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan STeP terutamanya melibatkan pengurusan akaun, khidmat nasihat produk, pembungkusan, pelabelan dan menyertai ekspo peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Saya juga mempunyai kilang berskala sederhana yang menjimatkan kos selain turut menawarkan khidmat perunding luar untuk produk usahawan lain.
“Tumise mendapat pensijilan halal dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) yang menambah keyakinan pengguna terhadap produk kami,” katanya.
Muhammad Syakir bercadang mendapatkan pengiktirafan GMP (Amalan Perkilangan Baik) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM) bagi sinergi bersifat berterusan.
“Saya juga mahu terus melaksanakan kajian dan pembangunan untuk meningkatkan daya saing produk selain merancang menaik taraf kilang menjadi sebuah pusat pengeluar yang lengkap,” katanya. – UTUSAN