MENYEMARAK HARAPAN, MENYEMAI MASA DEPAN ANAK BANGSA

MENYEMARAK HARAPAN, MENYEMAI MASA DEPAN ANAK BANGSA

PROGRAM usahawan digital bersama para pelajar ini yang bertujuan mendedahkan mereka kepada peluang keusahawanan digital sekali gus membantu mereka menjadi usahawan yang berjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM SEMARAK ILMU MAYBANK ISLAMIC BERHAD

KUALA LUMPUR: Setiap anak muda mempunyai impian, menjadi seorang doktor, jurutera, usahawan atau profesional yang berjaya.

Namun bagi ribuan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, laluan ke arah merealisasikan impian itu sering kali terhalang oleh kekangan kewangan dan akses kepada peluang pendidikan yang berkualiti.

Di sinilah Maybank Islamic Berhad, melalui program Semarak Ilmu bersama Yayasan Pelajaran Mara (YPM) tampil bukan sahaja sebagai penyokong tetapi sebagai pemangkin kepada perubahan hidup.

PARA pelatih sedang menjalani sistem transmisi gearbox bas model HINO.

Program Semarak Ilmu merupakan salah satu program zakat dan tanggungjawab sosial korporat Maybank Islamic di bawah
tonggak pendidikan yang menyokong visi Kumpulan Maybank untuk memajukan impak sosial dalam kalangan komuniti yang memerlukan di Malaysia.

Kerjasama strategik ini pada asalnya merupakan program kelas tuisyen untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijalankan di sekolah-sekolah MRSM, berasrama penuh serta pusat-pusat cadangan Pejabat Pendidikan Daerah, di mana peserta terdiri daripada pelajar
keluarga kurang berkemampuan yang tinggal berhampiran pusat-pusat tersebut.

Pada tahun 2015, program ini telah diperluas menjadi sebuah platform pendidikan yang lebih komprehensif di bawah nama baharu – Glory of Knowledge atau Semarak Ilmu – dengan matlamat menyediakan sokongan holistik kepada pelajar daripada golongan B40.

Tahun 2025 akan menyaksikan Maybank Islamic meneruskan kerjasama dengan YPM dalam pelbagai program pembangunan pelajar yang disesuaikan dengan keperluan semasa.

“Apa yang membezakan inisiatif Maybank Islamic adalah kejelasan visi dan kesinambungan impak. Program-program ini tidak bersifat ‘one-off’, sebaliknya direka bentuk sebagai
pelaburan jangka panjang dalam
pembangunan insan dan ekonomi negara. Ia turut mencerminkan prinsip “Humanising Financial Services” — satu falsafah yang menggerakkan segala usaha Maybank Islamic dalam memainkan peranan lebih besar daripada
sekadar institusi kewangan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Encik Nor Shahrizan Sulaiman.

Program-program seperti bantuan kepada pelajar tahfiz  untuk mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM, bukan sahaja membantu mereka dalam hafazan, tetapi
juga dalam akademik.

Ia sekali gus meluaskan peluang kerjaya masa hadapan mereka. Program pembangunan keusahawanan pula untuk
mendedahkan pelajar kepada
keusahawanan digital dan kemahiran perniagaan moden, agar mereka dapat berdikari dan mencipta peluang ekonomi sendiri.

Dua lagi program ialah Bursari Semarak Ilmu yang bertujuan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar daripada keluarga miskin untuk melanjutkan pengajian di peringkat
tinggi atau profesional dan program Train and Place iaitu program latihan kemahiran yang dijalankan di pusat latihan bertauliah berdaftar dengan YPM,
khususnya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menariknya, program ini bukan sahaja melatih, tetapi juga menjamin penempatan pekerjaan kepada peserta setelah tamat latihan.

Pada tahun 2024, daripada 30 pelajar yang ditaja Maybank Islamic di bawah program Train and Place, 60 peratus telah berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat latihan dengan kebanyakan mereka memperoleh gaji melebihi gaji minimum, iaitu lebih RM1,500 sebulan.

Malah, dua orang pelajar telah berjaya mendapat penempatan kerja di Jepun, satu pencapaian yang membanggakan
dan bukti kepada keberkesanan pendekatan strategik ini.

Di sebalik setiap statistik, ada kisah sebenar. Kisah pelajar yyang hampir berhenti sekolah tetapi kini berjaya melanjutkan pelajaran. Kisah anak muda luar bandar yang kini bekerja di negara maju. Dan kisah-kisah ini terus berkembang setiap tahun, hasil sokongan konsisten daripada pihak-pihak yang percaya bahawa pendidikan adalah pintu keluar paling berkesan daripada belenggu kemiskinan.

Dengan pelbagai inisiatif pendidikan yang terus diperluas dan diperkasakan, Semarak Ilmu kekal sebagai manifestasi
komitmen Maybank Islamic dalam menyemai masa depan Malaysia yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing.

Encik Nor Shahrizan Sulaiman berkata: “Maybank Islamic melangkah lebih jauh
daripada peranan tradisional kami, menjadi pemangkin harapan kepada anak-anak muda daripada latar belakang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran dan membina
masa depan lebih cerah.

“Melalui program tanggungjawab sosial korporat kami, kami bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan, tetapi
juga sokongan moral, bimbingan, dan akses kepada peluang yang mungkin mustahil tanpa bantuan ini,” katanya.

Semarak Ilmu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan. Ia mencerminkan komitmen Maybank  Islamic Berhad untuk mendukung aspirasi pendidikan anak bangsa dan memperkukuh ekosistem sosial melalui plaburan dalam modal insan, satu langkah strategik ke arah membina masa depan lebih inklusif dan sejahtera.

Program Semarak Ilmu akan terus digerakkan dengan semangat yang sama: menyemarak harapan dan menyemai masa depan anak bangsa, satu pelaburan jangka panjang yang tidak ternilai harganya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN