Kraf buka peluang tingkat pendapatan penduduk setempat

Kraf buka peluang tingkat pendapatan penduduk setempat

`AINU Sham Ramli bersama para peserta pada Majlis Penutup PPKK Anyaman Rotan di Masjid Al-Amin, Kampung Sempering, Kangar, Perlis. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraf Anyaman Rotan yang dilaksanakan di Kampung Sempering di sini membuka peluang buat peserta dalam kalangan penduduk melibatkan diri secara aktif dalam perusahaan kraf sebagai sumber pendapatan.

Melalui projek itu, seramai 11 peserta mengikuti aktiviti Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Anyaman Rotan yang dilaksanakan sejak Disember tahun lalu.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk `Ainu Sham Ramli berkata, bagi fasa pertama, peserta terlibat telah diberikan pendedahan dan kemahiran dengan memfokuskan kepada kemahiran asas penghasilan produk anyaman rotan seperti set alas pinggan, cawan serta bakul kecil.

Katanya, aktiviti peningkatan kemahiran lanjutan bagi fasa dua juga telah diadakan pada 15 hingga 17 April lalu yang melibatkan latihan penghasilan produk tudung saji rotan.

“Bagi fasa ketiga, peserta diberi pendedahan mempelajari dan meningkatkan kemahiran dalam penghasilan produk kraf anyaman rotan,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup PPKK Anyaman Rotan di Masjid Al-Amin, Kampung Sempering, di sini baru-baru ini.

Untuk rekod, pelaksanaan PPKK Kraf Anyaman Rotan di Kampung Sempering itu merupakan salah satu inisiatif dilaksanakan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Kraftangan Malaysia di bawah Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau lebih dikenali sebagai Program Santuni Madani.

`Ainu Sham berkata, PPKK juga merupakan langkah permulaan kepada pelbagai rantaian inisiatif lain yang bakal digerakkan bagi membangunkan sosio ekonomi penduduk di kampung berkenaan.

Katanya, pelaksanaan inisiatif tersebut digerakkan secara berfasa bertujuan bagi memastikan penguasaan kemahiran peserta ditingkatkan

“Ia bermula daripada kemahiran asas sehingga ke tahap kemahiran lanjutan,” katanya.

Dalam pada itu, `Ainu Sham berkata, sepanjang program tersebut, peserta turut dibimbing dan diberi tunjuk ajar oleh dua usahawan kraf anyaman yang berpengalaman luas.

Katanya, peserta diharap dapat terus aktif meningkatkan kemahiran yang dipelajari dan menghasilkan produk kraf sebagai sumber pendapatan keluarga selain turut menjadi usahawan berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia.

“Selain itu, saya juga mengharapkan lebih ramai komuniti di Kampung Sempering ini dapat dibangunkan di bawah projek PPKK yang seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN