Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia
SHAH ALAM: Seramai 1,150 graduan berjaya menamatkan pengajian melalui pendidikan vokasional di bawah Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia, kelmarin.
Penganugerahan itu dikategorikan kepada dua iaitu Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, akademi berasaskan TVET itu ditubuhkan bagi melahirkan belia berkemahiran tinggi.
Katanya, program itu juga dirangka supaya belia khususnya dari golongan B40, asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan juga Orang Asli diberikan peluang.
“Sebahagian daripada pekerja kami datang daripada mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran. Jadi dengan program ini, mereka dapat meningkatkan potensi diri dan kerjaya.
“Kami amat bangga dengan pencapaian ini kerana bukan sahaja ia memberi manfaat kepada syarikat, tetapi dapat mengubah keadaan sosioekonomi mereka.
“Di McDonald’s Malaysia, adalah tujuan dan hasrat kami juga untuk menyumbang dan membangunkan masyarakat dan negara,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-5 Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini.
Sejak penubuhannya pada 2018 dengan tempoh pembelajaran selama 18 bulan, akademi tersebut telah melahirkan lebih 5,000 graduan di mana 80 peratus daripada mereka memilih untuk membina kerjaya bersama McDonald’s.
Dalam tempoh pembelajaran itu, pelajar ditaja sepenuhnya termasuk elaun bulanan, keperluan asas, faedah insurans dan perubatan serta sumbangan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang yang menyampaikan sijil penganugerahan itu berkata, penglibatan aktif sektor swasta membantu dalam memenuhi agenda TVET Madani.
Katanya, usaha itu selari dengan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diperkenalkan kerajaan selain membolehkan belia melanjutkan pelajaran tanpa bebanan kewangan.
“Kejayaan TVET Madani tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan penglibatan aktif sektor swasta. Kita memerlukan lebih banyak rakan strategik yang sanggup melabur.
“Dalam hal ini, saya amat menghargai komitmen syarikat seperti McDonald’s Malaysia yang mengambil inisiatif melaksanakan program latihan vokasional mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, penerima Anugerah Perantis Cemerlang Keseluruhan, Raidi Hamizan Rozki, 18, berkata, minatnya muncul selepas menyertai ceramah yang mendedahkannya kepada kelebihan menjadi pelajar di akademi itu.
“Mula-mula saya tahu dari kumpulan WhatsApp sekolah. Sebelum mendapat temu duga, ada ceramah yang bagitahu kelebihan sertai McDonald’s, jadi dari situ saya mula berminat.
“Banyak pengalaman saya dapat semasa menyertai program ini. Antaranya, berkenalan dengan orang yang pelbagai sebab ada pelbagai lapisan umur dan masyarakat,” katanya.
Selain itu, pelatih OKU pembelajaran, Nur Farrah Adibah Razali, 21, berkata, pendekatan pembelajaran yang mengikut keupayaannya sangat membantu dalam memberikan kejayaan.
“Banyak yang saya belajar dan mereka ajar saya satu persatu secara perlahan-lahan. Sepanjang di sana, ramai yang membantu saya.
“Detik paling bermakna adalah bila cikgu saya ajar sehingga saya pandai. Kalau saya gagal, saya akan buat sekali lagi dengan didikan berterusan dari cikgu,” katanya.
Sementara itu, graduan Orang Asli, Wak Jenny Azman, 21, berkata, penyertaan dalam program vokasional itu bukan sahaja memberikan pendidikan malah turut memberinya pendedahan kepada dunia luar selain kampungnya.

Dia yang berasal dari suku kaum Semai berkata, dengan konsep bekerja sambil belajar, elaun bulanan yang diterima juga membolehkan dia membantu keluarga di kampung.
“Saya sangat bangga dengan pencapaian ini. Dengan peluang yang ada, saya cari pengalaman dan cuba dapatkan apa yang saya mahu.
“Jadi saya sangat sarankan orang di luar sana terutama komuniti setempat saya untuk sertai program ini dan dapatkan pengalaman serta ilmu baharu,” katanya. – UTUSAN