Saman firma juruaudit bukti Hajiji mahu selamatkan SDB, lawan rasuah

Saman firma juruaudit bukti Hajiji mahu selamatkan SDB, lawan rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyelesaikan legasi bermasalah yang ditinggalkan kerajaan lama

KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor komited terhadap tadbir urus yang berintegriti dalam menguruskan kewangan negeri apabila memfailkan saman sivil berjumlah RM1.97 bilion terhadap firma audit antarabangsa, Ernst & Young PLT (EY).

Tindakan itu difailkan oleh Bank Pembangunan Sabah Berhad (SDB) berikutan dakwaan kecuaian profesional EY dalam proses pengauditan kewangan bank tersebut antara 2017 hingga 2022.

Masalah itu berlaku sebelum Hajiji mengambil alih tampuk pemerintahan negeri.

HAJIJI NOOR

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu dilihat sebagai langkah drastik kerajaan negeri sekarang dalam memastikan institusi kewangan milik negeri tidak lagi dijadikan alat atau mangsa kepada kecuaian dan penyalahgunaan kuasa.

Walaupun keadaan meragukan, EY tetap dilantik secara berterusan untuk mengaudit SDB di bawah kepimpinan kerajaan negeri terdahulu termasuk di bawah Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Dalam pernyataan tuntutan setebal 100 muka surat, SDB telah mengemukakan 17 butiran utama kecuaian audit EY, antaranya:

1.Kegagalan mengesan “pinjaman tidak bayar” (non-performing loans) bernilai lebih RM2.2 bilion

2.Kelemahan kawalan dalaman dan kegagalan mengenal pasti risiko kredit.

3.Penggunaan laporan penilaian cagaran lapuk sehingga menyebabkan nilai aset disalah anggar.

4.Audit dijalankan tanpa skeptisisme professional

5.’Perakaunan kreatif’ yang menutup keselamahan sebenar melalui ‘penghijauan pinjaman’ (evergreening).

Tindakan itu diambil selepas SDB diambil alih oleh lembaga pengarah baharu pada awal 2023 yang mula menjalankan semakan dalaman secara menyeluruh terhadap laporan kewangan dan proses kelulusan pinjaman terdahulu.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Masidi Manjun mendedahkan dalam Dewan Undangan Negeri bahawa sehingga Mei 2023, sebanyak 75 peratus daripada portfolio pinjaman berjumlah RM6.6 bilion yang dikeluarkan oleh SDB telah menjadi pinjaman tidak berbayar atau bermasalah.

“Penggunaan kaedah ‘perakaunan kreatif’ oleh pengurusan terdahulu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan etika kerana kekal memberikan pinjaman kepada peminjam yang culas membayar bagi mengelakkan ia diremod sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).

“Amalan ini menyebabkan tahap hutang lapuk bank meningkat kepada lebih RM5 bilion,” katanya.

 

MASIDI MANJUN

Masidi menjelaskan, walaupun kelihatan seolah-olah pinjaman tertunggak telah dibayar, hakikatnya bank hanya menyusun semula kreditnya, malah turut merekodkan faedah yang tidak dikutip sebagai “untung atas kertas.”

Tambahnya, isu-isu ini bermula sejak tahun 2003 namun antara 2017 hingga 2022 sahaja, pengurusan terdahulu telah “mencipta” keuntungan atas kertas sebanyak RM580 juta.

“Kelulusan pinjaman dilakukan hampir tanpa sebarang proses semakan sewajarnya (due diligence), membolehkan banyak entiti yang tidak layak mendapat pembiayaan.

“Lebih memburukkan keadaan, pengurusan terdahulu gagal menilai semula pegangan sekuriti bank setiap dua tahun seperti yang diwajibkan ke atas institusi kewangan.

“Itu antara sebabnya SDB mendapat jolokan malang sebagai bankpilihan terakhir iaitu tempat di mana peminjam yang ditolak oleh semua bank lain masih mempunyai peluang,” katanya.

Reformasi pengurusan kewangan SDB

Penstrukturan semula SDB di bawah kebijaksanaan pengurusan kerajaan baharu yang memindahkan SDB di bawah Incorporation Ketua Menteri dan kini dikawal selia secara langsung oleh Perbendaharaan Negeri telah memberikan perkembangan positif.

Sehingga pertengahan tahun lepas, SDB mengumumkan bahawa ia telah berjaya memulihkan RM1.9 bilion pinjaman legasi daripada syarikat berkaitan kerajaan, mengurangkan obligasi bon tertunggak daripada RM5 bilion kepada RM3.3 bilion dalam tempoh setahun lalu.

Tidak hanya itu, pada September 2024, SDB telah memfailkan saman terhadap Ho Hup Construction Company Berhad dan anak syarikatnya Ho Hup Ventures (KK) Sdn Bhd kerana gagal membayar pinjaman yang diberikan bank.

Pinjaman yang diberikan kepada anak syarikat Ho Hup itu berjumlah RM91 juta bagi membiayai pembangunan bercampur KK Resort City di atas tanah 26.76 ekar di Sembulan namun projek tersebut tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan.

SDB mendakwa syarikat terbabit bukan sahaja gagal memulangkan semula pinjaman, malah tidak memenuhi obligasi projek dan laporan audit juga tidak menunjukkan sebarang peringatan berhubung risiko tersebut.

Lanjutan daripada tindakan undang-undang itu, kerajaan negeri menyatakan komitmen untuk memastikan segala kerugian akibat kecuaian profesional dibawa ke muka pengadilan.

Saman terhadap EY ini turut disokong oleh penemuan forensik awal dan perunding perundangan bebas yang dilantik untuk meneliti proses audit serta tanggungjawab fidusiari firma tersebut.

Perkara ini jelas menunjukkan pentadbiran Hajiji mengambil langkah yang agresif dalam membetulkan semula struktur kewangan agensi negeri agar selari dengan amalan tadbir urus korporat terbaik.

SDB kini dalam proses menuntut ganti rugi daripada pihak-pihak yang dikenal pasti bersalah dan langkah susulan turut sedang dipertimbangkan termasuk tindakan tatatertib serta pemulihan undang-undang lebih meluas.

Tindakan menyaman syarikat yang menyeleweng bukan sekadar usaha memperbaiki kerosakan lampau, tetapi juga strategi membina semula kepercayaan pelabur dan rakyat terhadap institusi kewangan Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN