PETALING JAYA: Lebih 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung akan menerima kadar elektrik baharu menerusi pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu yang diluluskan oleh kerajaan.
Penetapan tarif baharu tersebut akan berkuat kuasa bermula 1 Julai ini hingga 31 Disember 2027 di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) selaras dengan peruntukan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447).
Perubahan tarif elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) membabitkan penstrukturan semula tiga komponen iaitu kadar purata tarif asas; jadual tarif baharu dan mekanisme pelarasan kos bahan api.
Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi Tempoh Regulatori Keempat (RP4) dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024.
“Dengan pelarasan tersebut, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Rugalatori Ketiga (RP3),” katanya menerusi kenyataan.
ST berkata, pengenalan jadual tarif baharu itu turut meliputi perubahan kategori pengguna yang terbahagi kepada domestik dan bukan domestik berdasarkan penggunaan voltan sama ada voltan rendah, sederhana serta tinggi.
Selain itu, katanya, ia turut merangkumi penetapan setiap caj bagi komponen tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan yang berdasarkan kos berkaitan.
ST berkata, Insentif Cekap Tenaga akan diperkenalkan sebagai galakan kepada 23.6 juta pengguna domestik yang mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah.
“Melalui insentif ini, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik 1,000 kWj dan ke bawah dijangka tidak terkesan dengan pelaksanaan jadual tarif baharu.
“Selain itu, pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200 kWj dan ke bawah turut akan mendapat manfaat daripada insentif ini,” katanya.
ST berkata, skim Masa Penggunaan (TOU) sudah diselaras dan diperluas kepada tempoh luar puncak yang lebih panjang iaitu keseluruhan Sabtu, Ahad dan 10 malam sehingga 2 petang pada hari Isnin hingga Jumaat.
Katanya, ia bagi menggalakkan pengurusan penggunaan yang lebih cekap mengikut waktu permintaan, sejajar dengan usaha ke arah sistem tenaga lebih cekap dan lestari.
“Sekiranya pengguna menggunakan waktu di luar puncak, pengguna dapat menjimatkan bil elektrik berbanding penggunaan ketika waktu puncak,” katanya.
ST berkata, kerajaan turut bersetuju supaya tarif spesifik digunakan bagi kategori pertanian, perkhidmatan air dan pembetungan serta operator rel bagi memastikan aspek sosial dan kebajikan dipelihara.
“Kerajaan turut bersetuju pemberian rebat sebanyak 10 peratus bagi institut berdaftar pengajian tinggi, sekolah, rumah kebajikan dan rumah ibadat.
“Serta penerusan Program Rebat Bil Elektrik RM40 iaitu bantuan bulanan sehingga maksimum RM40 yang diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin tegar dan berdaftar dalam sistem e-Kasih di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kela-yakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti elektrik yang berhampi-ran,” katanya.
ST berkata, secara keseluruhan pendekatan tersebut bertujuan menggalakkan inisiatif kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh baharu yang memberi manfaat bersama melalui sistem tenaga yang lebih efisien dan mampan.
“Bagi tujuan ini, semua pengguna akan menerima bil elektrik dalam format baharu yang lebih terperinci.
“Susulan pelaksanaan jadual tarif baharu ini, majoriti pengguna dijangka tidak terkesan. Malah, pengguna yang mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi menerusi Insentif Cekap Tenaga,” katanya.
Bagi komponen caj tenaga, ST berkata, mekanisme pelarasan kos bahan api baharu yang lebih dinamik iaitu Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) akan menggantikan mekanisme Pemindahan Kos Ketidakseimbangan (ICPT).
“Mekanisme ini membolehkan pelarasan kos penjanaan dilaksanakan secara automatik berdasarkan harga bahan api di pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang asing.
“Maklumat tersebut akan dilaporkan setiap bulan di laman sesawang ST,” jelasnya.
Tambahnya, jadual tarif baharu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai dan diselaraskan dalam bil elektrik bermula penggunaan Julai 2025.
Jadual tarif akan dipaparkan di laman sesawang https://www.mytnb.com.my/tariff mulai 21 Jun 2025, pukul 12.00 tengah hari.
Selain itu, Anggaran kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik yang boleh diakses seawal-awalnya mulai Isnin, 23 Jun 2025 melalui laman sesawang https://www.mytnb.com.my/tariff
“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pengguna digalakkan menghubungi TNB
CareLine di talian 1-300-88-5454, emel ke [email protected] ataupun melalui platform rasmi TNB yang lain.
“Sebagai badan kawal selia tenaga di Semenanjung Malaysia, ST komited untuk memastikan pelaksanaan tarif berdasarkan prinsip adil, telus dan mampan bagi memenuhi keperluan dan mengimbangi kepentingan semua pengguna tenaga.
“Penstrukturan dan penyelarasan secara menyeluruh ini merupakan langkah penting bagi merealisasikan serta memperkukuh agenda peralihan tenaga negara yang saksama dan inklusif,” katanya.-UTUSAN