Festival Kraf Pantai Timur 2025 tampil lebih komersial, buka peluang B2B

Festival Kraf Pantai Timur 2025 tampil lebih komersial, buka peluang B2B

MOHD Yusri ( kanan) dan ‘Ainu Sham( kiri) melihat produk kraf ukiran kayu yang ditempah oleh pembeli ketika sesi Walkabout FKPT 2025 di East Coast Mall, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Festival Kraf Pantai Timur (FKPT) 2025 kembali memeriahkan Pantai Timur dengan suntikan baharu yang lebih komersial dan strategik, menerusi padanan perniagaan atau B2B (Business to Business), sekali gus mempertingkat peluang ekonomi usahawan kraf tempatan.

Festival anjuran Kraftangan Malaysia ini bukan lagi sekadar tempat jualan produk kraf, sebaliknya bertindak sebagai platform jalinan kerjasama perniagaan jangka panjang dengan pemain industri utama seperti hotel, syarikat korporat dan pengedar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusoff berkata, pendekatan edisi keenam ini selari dengan keperluan pasaran semasa yang semakin kompetitif.

“Festival kali ini membawa pembaharuan yang lebih strategik selari dengan keperluan pasaran semasa, sekali gus memberi nilai tambah kepada peserta.

“Kita tak mahu usahawan kita hanya terkenal di peringkat daerah. Sebab itu, tahun ini kita bawa pendekatan yang lebih komersial, yang dapat hasilkan kerjasama B2B (perniagaan ke perniagaan),” katanya pada sidang media sempena Sesi Walkabout FKPT 2025 di Pusat Beli Belah East Coast Mall (ECM) dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Ramli.

Festival selama 13 hari bermula 22 Mei hingga 3 Jun itu menghimpunkan seramai 74 usahawan dari pelbagai bidang termasuk kraf tekstil, logam, hasil rimba dan aneka kraf, sekali gus mempamerkan kekayaan seni warisan tempatan yang unik.

Menurut Mohd. Yusri, sesi padanan perniagaan yang diperkenalkan tidak terhenti setakat semasa festival, sebaliknya akan diteruskan dengan rundingan lanjutan yang akan diselaraskan oleh Kraftangan Malaysia.

“Langkah ini diyakini mampu melonjakkan jualan keseluruhan kepada RM3 juta, berbanding RM2.1 juta yang dicapai pada penganjuran tahun lalu.

“Kami optimis sasaran ini mampu direalisasikan, apatah lagi dengan kehadiran pengunjung sempena cuti sekolah, promosi agresif serta kualiti produk kraf tempatan yang semakin mendapat tempat di hati pengguna,” katanya.

Tambah beliau, FKPT turut menjadi pentas promosi penting kepada lebih 6,000 usahawan kraf berdaftar dan penganjur menyeru lebih ramai pengusaha tempatan tampil mendaftar untuk merebut pelbagai peluang serta insentif disediakan.

“Kita bantu daripada segi pembangunan produk, latihan kemahiran, pembukaan peluang perniagaan dan pelbagai bentuk sokongan lain.

“Untuk festival kraf yang akan datang kita rancang sekala yang lebih besar sebab festival ini ada ikut zon dan negeri. Jadi untuk tahun ini, festival ini yang pertama dan kita ada lapan hingga sembilan lagi siri festival yang dirancang,”ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN