Bangie Embol, nama yang tidak asing dalam industri kraftangan negara.
Bangie Embol atau mesra dikenali dipanggil ‘indai’, kini menjadi lambang keteguhan seorang wanita Iban yang berpegang kepada akar budaya, namun tidak takut meneroka pembaharuan.
Dengan mempunyai pengalaman 68 tahun dalam tenunan pua, iaitu kraf tangan yang hanya boleh didapati di negeri Sarawak, beliau bangga mengabdikan hampir seluruh hidupnya kepada seni kraf tenunan tradisional.

Hal ini lantas menjadikan, Bangie bukan sekadar seorang penenun biasa, tetapi seorang tokoh seni kraf tradisional yang berjaya mengangkat martabat tenunan pua hingga ke peringkat kebangsaan.
Kehalusan sentuhan dan ketekunannya dalam menghasilkan corak pua yang rumit, menjadikan beliau sebagai salah seorang tokoh paling disegani dalam dunia kraf tekstil warisan.
Justeru bagi mengiktiraf kepakarannya yang luar biasa, Kraftangan Malaysia melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Tenunan Pua sejak tahun 2000, satu pengiktirafan tertinggi dalam bidang tersebut.
Keunikan bakat Bangie bukan sahaja dalam tenunan tetapi juga dalam ritual pewarnaan benang tradisional yang dikenali sebagai ‘Ngar’, satu upacara istimewa dalam budaya Iban.
Kemahiran beliau dalam mengolah tenunan pua menjadikannya layak dipilih sebagai individu yang dapat mengetuai upacara tradisional itu, sekali gus menunjukkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap ilmunya.

Upacara “Ngar” ini bukan sahaja berkaitan dengan teknik, tetapi juga melibatkan aspek spiritual dan tradisi turun-temurun yang perlu dilakukan dengan tertib dan penuh penghayatan.
Dalam proses upacara tersebut, Bangie menggunakan bahan semula jadi seperti akar, daun, dan kulit kayu untuk menghasilkan warna-warna asli yang tahan lama, tidak luntur, dan sangat khas.
Ketekunannya dalam mengekalkan teknik pewarnaan tradisional sambil berinovasi mengikut peredaran masa, membuktikan bahawa seni warisan boleh terus hidup tanpa mengorbankan keasliannya.
Salah satu aspek yang menjadikan hasil kerja Bangie begitu memukau adalah reka coraknya yang diilhamkan melalui mimpi, difahamkan sebagai suatu elemen mistik dan spiritual yang menjadi keunikan seni pua.
Selain itu, motif reka bentuk yang dihasilkan oleh beliau ialah bentuk bungai nuing, buah gelanggang langit, bunga rang jugah, bunga buah sepuyong dan bunga bali malikut.
Hasil motif tersebut, bukan sahaja mempunyai nilai estetika yang tinggi tetapi turut sarat dengan simbolisme budaya.
Beliau yakin gabungan motif flora, fauna dan figura dalam setiap tenunannya melahirkan sebuah karya tekstil yang bukan sahaja indah dipandang, tetapi juga sarat dengan makna dan naratif tersendiri.”
Tenunan beliau terkenal dengan kehalusan dan ketelitian yang sangat sukar ditandingi, sekali gus menjadi ukuran mutu tertinggi dalam dunia tenunan.

Anugerah Seni Negara 2024.
Ketokohan Bangie tidak hanya diiktiraf di peringkat nasional, malah turut menerima penghormatan di persada antarabangsa.
Antara pencapaian membanggakannya termasuk, pernah merangkul Johan Pertandingan Warna Asli Tenun Ikat, anjuran Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1998 di Bangkok,
Beliau turut dianugerahkan Anugerah Karyawan Kraf pada tahun 2007, diikuti dengan pengiktirafan dalam Anugerah Sarawak Hornbill Tourism Awards 2017 atas sumbangan luar biasa beliau dalam industri kraf pelancongan.
Pada tahun 2023, Bangie dinobatkan sebagai penerima Hasanah Gold Threads Awards (HSTA) bagi kategori Ikat Tradisional Terbaik dan yang terbaharu, beliau menerima Anugerah Karyawan Seni Kraf sempena Anugerah Seni Negara 2024. – UTUSAN