Utusan Malaysia

70 pemenang cabutan bertuah Kempen Hartanah UDA 2024/25

JOHARI SHUKRI Jamil (tiga dari kanan) bersama kereta Proton S70 bagi pemenang cabutan bertuah sempena Kempen Hartanah UDA 2024/2025 di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 70 pembeli diumumkan sebagai pemenang hadiah cabutan bertuah yang bernilai keseluruhan RM300,000 sempena Kempen Hartanah UDA Holdings Berhad (UDA) 2024/2025.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, seramai 268 pembeli menyertai cabutan berkenaan dengan 55 peratus adalah Bumiputera.

Menurutnya, pemenang utama membawa pulang sebuah Proton S70 1.5T Executive.

Selain itu, cabutan tersebut turut menawarkan pelbagai hadiah menarik, antaranya dua motosikal Modenas Elegan, tiga kerusi urut Ogawa dan empat pakej percutian tiga hari dua malam di Hotel Hard Rock Pulau Pinang dan Hard Rock Hotel Desaru, Johor.

Sebanyak 30 baucar Harvey Norman bernilai RM500 serta 30 baucar SSF Home bernilai RM500 turut diberikan.

“Peserta yang layak merupakan pembeli yang telah menandatangani perjanjian jual dan beli (SPA) sepanjang tempoh kempen diadakan.

“UDA merekodkan jualan bernilai RM250 juta (sepanjang kempen) dengan Johor mencatatkan sambutan memberangsangkan dan daripada jumlah tersebut, majoriti hartanah terjual bernilai di bawah RM1 juta,” katanya pada Majlis Cabutan Pemenang Hadiah sempena Karnival Jom Heboh di Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam.

JOHARI SHUKRI Jamil (tiga dari kanan) bersama kereta Proton S70 bagi pemenang cabutan bertuah sempena Kempen Hartanah UDA 2024/2025 di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA, Azrudyn Rashid; Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., Muhammad Ismail Dasuki serta Ketua Pegawai Operasi UDA Angsana Sdn. Bhd., Imran Salleh.

Johari memberitahu, antara projek hartanah pilihan sepanjang kempen itu adalah projek jenis ‘landed’ di Kuala Terengganu Golf Resort (KTGR) Fasa 6, Sarai KTGR Fasa 5 dan Pelindung Heights Fasa 1B di Kuantan, Crescent Dew di Bertam, Taman Sena Permai di Kangar, Mawar di Taman Sultan Sallehuddin, Alor Setar serta Areca Terrace 4B di Bandar UDA Utama, di sini.

Projek jenis strata turut mendapat sambutan, iaitu 38 Bangsar, Pangsapuri Dedaun Residensi dan Legasi Kampong Bharu di Lembah Klang, Residensi Amaanee dan Residensi Evoke di Pulai Pinang, Neu Pendington di Kuching, Sarawak serta premis pejabat 21BizHub di Bandar Uda Utama, di sini, katanya.

Johari berkata, kempen tersebut merancakkan lagi jualan hartanah merentasi lima wilayah pembangunan utama UDA serta menggalakkan pemilikan hartanah yang lebih inklusif dan mampan, khususnya dalam kalangan Bumiputera.

“UDA turut berharap dapat terus konsisten memperkasakan pemilikan hartanah dalam kalangan Bumiputera, seterusnya optimis meningkatkan lagi peratusan komuniti berkenaan dengan pelbagai inisiatif yang dirancang pada masa akan datang,” katanya.

UDA turut menawarkan kempen khas ‘Snap & Sign Deals’ dengan ganjaran istimewa bernilai sehingga RM100,000 kepada pembeli produk hartanah UDA dan tertakluk dengan terma dan syarat.

Kempen itu diadakan sempena penyertaan UDA dalam Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall dari 27 Jun dan berakhir hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN