KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 menyaksikan Malaysia memainkan peranan aktif dalam membentuk pendirian serantau terhadap pelbagai isu kemanusiaan dan geopolitik utama, termasuk krisis di Gaza dan Myanmar serta memperkukuh integrasi serantau menerusi pelancaran Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045.
Sidang kemuncak ini bukan sahaja memperlihatkan keberkesanan Malaysia dalam mengetuai blok serantau, tetapi juga menerima keyakinan daripada beberapa pemimpin negara anggota terhadap kepimpinan Malaysia yang dianggap berprinsip dan inklusif.
Malaysia turut dipuji atas kejayaan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan pengisian menyeluruh serta penekanan terhadap isu-isu mendesak seperti krisis kemanusiaan, pembangunan mampan dan transformasi digital.
Pendekatan Malaysia merangkumi pelibatan pelbagai lapisan masyarakat termasuk belia, komuniti perniagaan dan kumpulan rentan, turut mendapat penghargaan negara-negara anggota ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, digambarkan sebagai pemimpin yang lantang dan berani menyuarakan isu-isu global, tanpa mengetepikan semangat konsensus yang menjadi asas kepada ASEAN.
Isu Gaza: ASEAN perlu nyata pendirian tegas
Menyentuh isu di Gaza, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menggesa ASEAN tidak bersikap pasif terhadap krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, terutama terhadap penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin.
Beliau menyeru negara anggota ASEAN menyuarakan pendirian bersama di peringkat antarabangsa serta menekankan pentingnya gencatan senjata dan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan.
Myanmar perlu patuhi Konsensus Lima Perkara
Dalam menangani krisis kemanusiaan dan politik di Myanmar, ASEAN menegaskan keperluan negara itu mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui pada Sidang Khas Pemimpin ASEAN 2021 di Jakarta.
Konsensus tersebut menggariskan lima tunjang utama: menghentikan keganasan, dialog konstruktif, bantuan kemanusiaan, menjadikan ASEAN sebagai perantara, serta lawatan wakil khas ASEAN ke negara itu.
Mohamad menekankan Myanmar perlu menghentikan sebarang permusuhan dan melaksanakan gencatan senjata sebelum mengadakan pilihan raya yang dijangka pada tahun ini.
Beliau juga menyeru agar bantuan kemanusiaan diberikan akses tanpa halangan di kawasan yang terkesan akibat bencana di negara berkenaan.
Timor-Leste hampiri keahlian penuh negara anggota ASEAN
Isu keanggotaan penuh Timor-Leste turut mendapat perhatian apabila Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmao, menyatakan keyakinan negaranya mampu memenuhi semua instrumen undang-undang sebelum akhir tahun ini untuk diterima sebagai anggota penuh ASEAN.
Malaysia mengusulkan agar Timor-Leste dimasukkan terlebih dahulu sebagai anggota ASEAN walaupun belum mencapai sepenuhnya 66 Instrumen Undang-Undang yang ditetapkan, walaupun negara itu belum berjaya mencapai 66 Instrumen Undang-Undang blok berkenaan.
Ini kerana Malaysia melihat wujudnya kepentingan supaya Timor-Leste menjadi ahli keluarga ASEAN dan diberikan masa beberapa tahun untuk negara itu memenuhi semua instrumen undang-undang yang perlu dipatuhi.
Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.
Negara itu juga diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.
Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.
Deklarasi Kuala Lumpur: Hala tuju baharu ASEAN
Sidang kemuncak ini turut menyaksikan pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Kita Bersama, yang menetapkan hala tuju strategik blok serantau untuk dua dekad akan datang.
Dokumen ini merupakan kesinambungan ASEAN 2025: Forging Ahead Together yang dimeterai pada Kepengerusian Malaysia tahun 2015 dan kini menjadi peta hala tuju baharu untuk menjadikan ASEAN sebagai sebuah komuniti berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat serta menjadi pusat pertumbuhan utama di rantau Indo-Pasifik menjelang 2045.
Visi ini digariskan melalui enam dokumen penting termasuk pelan strategik bagi tiga tunjang komuniti ASEAN serta pelan keterhubungan (connectivity) serantau.
Ia merangkumi lebih 500 langkah strategik yang akan diterjemahkan kepada program kerja konkrit oleh badan-badan sektoral ASEAN.
Sidang pada hari kedua menyaksikan tumpuan utama kepada pengukuhan kerjasama strategik serantau menerusi penganjuran dua sidang penting iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
Kedua-dua sidang ini membuka lembaran baharu dalam memperluas kerjasama perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.
Ia turut menyaksikan pelaksanaan Sidang Kemuncak BIMP-EAGA ke-16 (Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina East ASEAN Growth Area) dan Sidang Kemuncak IMT-GT ke-16 (Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand).
Malaysia komited untuk memastikan Kepengerusian ASEAN 2025 terus menghasilkan keputusan yang bermakna, berpaksikan prinsip dan memberi kesan langsung kepada rakyat ASEAN. – UTUSAN