PETALING JAYA: Dakwaan rasuah menerusi 10 rakaman video melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dilihat sebagai satu usaha terancang untuk membunuh karakter pemimpin di negeri ini.
Pensyarah Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang bukan sahaja menyebarkan video-video berkenaan, malah turut menghasilkan rakaman yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) termasuk audio mirip suara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang kononnya sedang berbual dengan individu lain.
Beliau berkata, situasi itu boleh mengelirukan masyarakat, terutamanya golongan yang kurang celik media digital, sehingga terpedaya dan akhirnya menimbulkan keraguan terhadap individu tertentu serta menghakimi tanpa maklumat yang sahih.
“Dalam konteks ini, kita melihat bagaimana media boleh menjadi gelanggang perbicaraan terbuka, yang mendedahkan dan mengaibkan individu tanpa sebarang proses undang-undang yang sah.
“Masyarakat kini cenderung menjatuhkan hukuman berdasarkan persepsi dan pengetahuan sendiri. Ironinya, apabila maklumat rasmi daripada pihak berkuasa tidak seiring dengan pandangan atau naratif mereka, maka integriti dan kredibiliti pihak berkuasa pula yang dipersoalkan dan diserang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penyebaran video berkenaan turut mendapat reaksi dari rakyat Sabah, termasuk Muhammad Razif AlHaj Mat Daud, 25, yang menyuarakan rasa tidak senang terhadap tindakan individu yang menyebarkannya tanpa pengesahan.
Penjawat awam yang berasal dari Bongawan itu berkata, penyebaran video sedemikian berpotensi mencemarkan nama baik negeri serta menimbulkan persepsi negatif seolah-olah Sabah masih terpalit dengan isu rasuah.
“Perkara seperti ini sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh, bukannya diadili oleh rakyat melalui media sosial,” katanya.
Tambahnya lagi, dia percaya kepada proses undang-undang dan siasatan yang telus, serta menekankan sebarang hukuman tidak wajar dijatuhkan sebelum kebenaran dibuktikan.
“Harapan saya kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor atau mana-mana pemimpin yang diamanahkan adalah agar prinsip ketelusan, integriti dan pembangunan yang saksama terus menjadi keutamaan.
“Saya yakin dengan kerjasama semua pihak, Sabah mampu melangkah lebih jauh sebagai sebuah negeri yang teratur, aman dan harmoni demi kesejahteraan rakyatnya,” ujarnya.
Sementara itu, usahawan berasal dari Labuan, Effie Norsabrina Md Yusof, 45, mengutuk sekeras-kerasnya tindakan memviralkan video tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.
“Perbuatan seperti ini hanya mengelirukan masyarakat dan boleh menjatuhkan imej pelbagai pihak yang tidak bersalah,” katanya.
Menurutnya, dunia media sosial kini terlalu agresif sehingga menyukarkan kawalan terhadap penyebaran maklumat yang mudah tular tanpa tapisan.
“Sebagai rakyat Sabah, saya sudah tentu mahukan isu berkaitan rasuah dan penyelewengan dibanteras sepenuhnya, tidak kira melibatkan pihak berkuasa mana sekalipun,” tegasnya.