PETALING JAYA: Langkah Majlis Sukan Negara (MSN) meminda klausa kontrak atlet wanita hamil disambut baik oleh kebanyakan atlet dan bekas atlet negara sebagai inisiatif berani memperkasakan peranan wanita dalam sukan.
Mulai tahun ini, atlet wanita yang hamil tidak lagi dikecualikan secara automatik daripada program latihan kebangsaan.
Sebaliknya, penilaian akan dibuat berdasarkan keupayaan individu atlet, dengan mengambil kira jenis sukan dan tahap kesihatan kehamilan.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, perubahan ini penting untuk memastikan dasar sukan negara lebih inklusif terhadap wanita.
“Pindaan ini menjadikan kontrak lebih mesra wanita kerana setiap kehamilan adalah berbeza dan tidak wajar disamakan,” kata Hannah.
Atlet duathlon negara, Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid berpendapat bahawa, kehamilan tidak semestinya menghalang seseorang wanita kekal aktif.
Beliau yang berusia 36 tahun itu mengingatkan bahawa tidak semua kehamilan sama dan pendekatan yang fleksibel adalah penting.
“Saya masih berlari maraton semasa mengandung dan memenangi perlumbaan, tetapi saya tahu ketika itu tubuh saya kuat,” kata Tahira kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, MSN perlu memastikan atlet tidak dipaksa bersaing semasa hamil, sebaliknya diberi pilihan tanpa tekanan untuk mengejar prestasi.
Beliau juga menekankan pentingnya peluang diberikan kepada atlet pelapis sekiranya atlet utama sedang hamil dan berehat.
“Kita ada banyak atlet pelapis yang boleh diberi peluang untuk berkembang apabila atlet senior berehat,” tambahnya.

Bekas pemain badminton negeri Selangor yang juga berstatus doktor gigi, Dr. Bon Meichee turut menyifatkan inisiatif itu sebagai langkah pemerkasaan terhadap atlet wanita.
Beliau percaya latihan yang diubah suai dan penilaian kesihatan berkala mampu memastikan keselamatan atlet dan bayi sepanjang program latihan.
“MSN kini mengiktiraf bahawa wanita hamil adalah ‘hakim’ terbaik kepada had keupayaan fizikal mereka, dengan bimbingan pakar perubatan,” kata Meichee.

Bagi penembak raifal berpengalaman negara, Nur Suryani Mohamed Taibi berkata, pindaan ini menyelesaikan jurang masa latihan yang panjang ketika hamil dan berpantang.
Menurut pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 itu, atlet wanita perlu bijak memahami kondisi badan masing-masing dan bertindak berdasarkan nasihat pakar.
“Apabila lama tidak berlatih, rentak dan kemahiran terganggu terutama dalam sukan seperti menembak yang banyak melibatkan koordinasi motor,” kata Suryani.

Dalam pada itu, pandangan atlet silat negara, Siti Shazwana Ajak, menyifatkan pindaan tersebut memberi pilihan kepada atlet, namun menegaskan kehamilan tetap satu keadaan sensitif.
Juara dunia 2024 itu mencadangkan agar MSN menyediakan tempoh rehat bersesuaian kepada atlet hamil sebelum mereka kembali menjalani latihan secara progresif.
“Walaupun sukan tidak lasak, tekanan latihan tetap boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan kandungan,” jelas Siti.

Pandangan itu turut dikongsi oleh bekas penerjun negara, Datuk Leong Mun Yee, yang mana percaya keselamatan atlet dan bayi perlu menjadi keutamaan.
Bagaimanapun, pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2019 itu menyokong dasar tersebut kerana tidak semua jenis sukan melibatkan risiko tinggi kepada kandungan.
“Sukan seperti terjun sukar untuk dilatih ketika hamil kerana pergerakan melibatkan putaran dan hentakan,” ujar Mun Yee.
Secara keseluruhannya, pindaan ini dilihat sebagai satu anjakan paradigma terhadap cara dasar sukan negara mendekati isu wanita dan kehamilan.
Ia bukan sahaja menghormati hak wanita untuk kekal aktif, malah membina ekosistem sukan yang lebih profesional dan bertanggungjawab.
Pakar-pakar sukan dan pegawai perubatan sukan wajar dilibatkan secara aktif dalam pemantauan dan perancangan latihan untuk atlet wanita hamil.
Dengan pelaksanaan yang cermat, dasar ini mampu menjadi contoh kepada negara lain dalam mendepani isu kesamarataan jantina dalam sukan. – UTUSAN