KUALA LUMPUR: Orang awam dan kenamaan antara hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Penghormatan itu dibuka di Dewan Solat Utama, Masjid Negara pada pukul 11 pagi hingga 1 petang, hari ini.
Antara kenamaan yang dijangka hadir ialah bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka tiba kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Selain itu turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd. Ali Mohd Rustam dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat tiba di Masjid Negara kira-kira pukul 8.15 pagi, hari ini diiringi kawalan keselamatan pasukan polis dan tentera.
Kemudian, jenazah akan disembahyangkan selepas solat Zuhur dan seterusnya dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Pada masa sama, Allahyarham juga diberikan Istiadat Pengembumian negara oleh kerajaan pada urusan pengebumian.
Semalam, Allahyarham Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah pernafasan yang dialaminya. – UTUSAN