KUALA LUMPUR: Kehalusan tenunan, sulaman, tekatan, anyaman, ukiran serta keunikan motif warisan bangsa kini dapat dinikmati secara dekat menerusi Pameran Karya Agung yang sedang berlangsung di Muzium Kraf Kuala Lumpur.
Berlangsung dari 28 November 2024 hingga 31 Disember 2025, pameran ini bukan sekadar menonjolkan keindahan hasil tangan anak tempatan, malah menjadi medan mengangkat martabat seni warisan ke persada lebih tinggi.
Bertemakan Seni Kraf Warisan Negara, pameran ini menampilkan 150 karya unggul daripada 73 Tokoh Kraf Negara dan Adiguru Kraf dimana individu berwibawa ini telah banyak menyumbang dalam memelihara seni kraf Malaysia.
Karya-karya yang dipersembahkan bukan sekadar untuk tatapan mata, sebaliknya mengandungi roh budaya yang sarat nilai, mencerminkan jati diri dan peradaban bangsa sejak turun-temurun.
Tokoh Kraf Negara merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh kerajaan kepada individu yang memperjuangkan seni kraf dengan penuh ketekunan, hingga mengharumkan nama negara di peringkat nasional dan antarabangsa.
Anugerah ini mula diperkenalkan pada tahun 1996, hasil kelulusan Jemaah Menteri sebagai pengiktirafan terhadap pengusaha kraf yang kreatif, inovatif dan konsisten dalam penghasilan karya.
Sementara itu, pengiktirafan Adiguru Kraf pula diperkenalkan sejak 1987 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, khusus buat mereka yang memiliki kemahiran tinggi dalam bidang penciptaan dan ketukangan produk kraf yang mempunyai identiti tempatan.
Kedua-dua pengiktirafan ini memainkan peranan penting dalam memastikan seni kraf tidak hanya kekal relevan, malah terus diwarisi dan dibanggakan generasi baharu.
Melangkah ke ruang pameran, pengunjung disambut dengan susunan karya kraf yang penuh nilai artistik seperti fabrik tenunan halus, anyaman tradisional, ukiran logam hinggalah kepada tembikar dan hasil tanah liat.
Lima bidang kraf utama dipersembahkan melibatkan kraf tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf yang masing-masing menyerlahkan keunikan teknik dan kreativiti yang diwarisi sejak berabad lamanya.
Setiap produk menampilkan pengaruh alam, bentuk geometri, serta elemen kehidupan harian yang diterjemahkan dalam pelbagai bentuk dan gaya, mencetuskan rasa bangga terhadap warisan seni tanah air.
Motif dan reka corak dalam setiap hasil seni ini pula banyak diinspirasikan daripada flora, fauna, mimpi, serta alam semula jadi, memperlihatkan hubungan mendalam antara manusia dan persekitarannya.
Keseluruhan karya dihasilkan dengan penuh teliti, melalui proses pewarnaan, penataan, dan penggayaan yang memperlihatkan kecekapan tangan pengkarya dalam melahirkan produk yang bukan sahaja cantik tetapi bermakna.
Tidak hairanlah, sebahagian karya yang dipamerkan pernah mendapat pengiktirafan diraja, dijadikan cenderamata rasmi negara, dan menembusi pasaran antarabangsa sebagai simbol kraf Malaysia.
Bagi memberi peluang kepada khalayak lebih luas, pameran ini turut menjelajah ke dua lokasi lain sepanjang 2025 iaitu di Muzium Negara, Kuala Lumpur dari 15 April hingga 31 Jun dan Muzium Budaya Sarawak di Kuching dari 15 Mei hingga 30 Julai.
Menariknya, pameran di Kuching bakal memberi tumpuan khas kepada seni kraf tekstil, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian budaya dan ekspresi warisan kraf tekstil di Malaysia.
Dengan menyasarkan pengunjung dari pelbagai bangsa dan peringkat umur, pameran ini bukan sahaja menyatukan rakyat menerusi seni, tetapi juga memupuk kefahaman serta penghargaan terhadap nilai budaya yang semakin dilupakan. – UTUSAN