KUALA LUMPUR: Arus Academy dengan kerjasama bersama FWD Insurance Berhad (FWD Insurance) melancarkan program Fun(d) For Life bagi para pelajar universiti kurang berkemampuan berusia 18 hingga 24 tahun.
Menerusi program tersebut, 500 orang pelajar terpilih berpeluang belajar lebih lanjut mengenai pengurusan kewangan yang dapat membantu mereka memupuk literasi kewangan sebelum melangkah ke dunia pekerjaan.
Dalam pada itu, pelajar terlibat bakal menerima wang tunai sebanyak RM3,000 dalam bentuk simpanan atau deposit tetap yang membolehkan mereka membina kebebasan kewangan dan memupuk tabiat positif untuk masa depan.
Difahamkan, Arus Academy dan FWD Takaful Berhad telah memberi manfaat kepada lebih 47,108 pelajar sekolah rendah dan menengah dari Januari hingga Disember 2024 melalui inisiatif pendidikan kewangan yang menyeluruh, termasuk portal pembelajaran interaktif, kem celik kewangan dan acara berasaskan reka bentuk sepanjang tahun 2024.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FWD Insurance, Mak See Sen, kolaborasi bersama Arus Academy bukanlah satu perkara yang baharu kerana mereka pernah bekerjasama dalam satu program literasi kewangan khas untuk sekolah rendah dan menengah.
Katanya, program sebegini amat penting untuk memastikan pelajar dapat menguruskan kewangan dengan baik memandangkan cabaran kewangan yang terpaksa dihadapi kini amat berbeza dengan zaman dahulu.
“Dulu, masyarakat mempunyai kehidupan yang lebih ringkas. Lagipun, 20 tahun dulu, belum wujud telefon pintar yang mahal. Jadi, kehendak untuk membeli barang-barang berjenama ini lebih besar bagi generasi sekarang.
“Bagi saya, fasa transisi dari zaman universiti ke zaman pekerjaan sangat penting. Inilah waktu terpenting untuk memupuk literasi kewangan yang pastinya dapat membawa perubahan positif dalam kehidupan peribadi pelajar tersebut pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Fun(d) For Life bertempat di Bangunan AICB di sini hari ini.
See Sen berkata, peserta program Fun(d) For Life kali ini bakal mendapat wang tunai sebanyak RM3,000 bagi membantu mereka memupuk tabiat kewangan sihat.
“Jumlah tersebut mungkin tidak banyak bagi pelajar berkemampuan, namun bagi mereka yang memerlukan, ia dapat membantu mereka menampung perbelanjaan di ibu kota.
“Tetapi, apa yang lebih penting, pelajar boleh mengaplikasikan apa yang mereka belajar semasa program tersebut untuk menguruskan wang tersebut dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, CEO dan pengasas bersama Arus Academy, Alina Amir berkata, program Fun(d) For Life bakal dilaksanakan dalam beberapa fasa untuk memastikan pelajar dapat mengaplikasikan pembelajaran mereka di dunia nyata.
Jelasnya, antara komponen penting dalam inisiatif tersebut merangkumi lapan jam aspek khidmat masyarakat, di mana peserta akan mengajar topik literasi kewangan kepada sekurang-kurangnya 20 rakan sebaya.
“Menjelang akhir program, setiap peserta akan menerima geran bernilai RM3,000 yang akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan atau deposit tetap untuk menyokong matlamat kewangan mereka dan memupuk kebebasan jangka panjang.
“Dengan jangkaan lebih 10,000 orang individu yang akan menerima manfaat melalui penglibatan secara langsung dan juga aspek khidmat masyarakatnya, inisiatif ini mengukuhkan visi Malaysia untuk membentuk masyarakat yang celik kewangan, berdaya tahan dan inklusif dari aspek ekonomi,” katanya.
Jelasnya, pelajar bakal menyertai kem selama tiga hari yang mendedahkan mereka kepada kepentingan literasi kewangan supaya mereka dapat membentuk tabiat kewangan sihat.
“Dalam program ini, kami akan memilih pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dengan latar belakang berbeza. Kami juga mempertimbangkan pelajar berkeperluan khas atau dari kalangan kurang upaya (OKU) supaya mereka dapat diberikan pendedahan yang sewajarnya.
“Kemahiran kewangan merupakan satu perkara yang penting. Ia bukan sahaja penting ketika di universiti sahaja, tetapi sepanjang hayat. Sebab itulah, program yang pada awalnya dibuat untuk pelajar sekolah rendah dan menengah ini diteruskan kepada peringkat universiti pula,” jelasnya.
Alina berkata, literasi kewangan merupakan satu skil yang perlu dipelajari oleh semua orang tanpa mengira jantina, kaum atau usia.
“Terlalu banyak godaan yang wujud sekarang. Tanpa kesedaran mengenai kepentingan pengurusan kewangan bijak, ramai yang terpedaya dengan penipuan.
“Sebab itulah program ini penting. Ia dapat membantu pelajar mengasah skil supaya tidak mudah tertipu atau terjerat dengan hutang pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN