Teater Muzikal Sudirmania umpan penonton generasi baharu

Teater Muzikal Sudirmania umpan penonton generasi baharu

Antara babak yang menarik dalam Teater Muzikal Sudirmania anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Panggung Bandaraya, Jalan Raja, Kuala Lumpur, malam semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mendapat sambutan menggalakkan, pementasan Teater Muzikal Sudirmania yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 sehingga 29 Disember disifatkan berjaya meraih kelompok penonton baharu terutama dalam kalangan generasi muda.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris, pihaknya berbangga apabila pementasan itu berupaya menarik minat penonton baharu sekali gus menyemarakkan lagi pembangunan industri teater tanah air.

“Alhamdulillah, ini adalah salah satu siri pementasan teater karya agung dan teater tradisional yang dianjurkan oleh JKKN. Dengan adanya pementasan sebegini, kita sebenarnya berhasrat mahu mewujudkan khalayak baharu dengan tajuk baharu yang memberi satu kekuatan untuk menarik golongan remaja khususnya bagi menyaksikan pementasan teater.

“Saya berbangga dengan sambutan yang diberikan dan boleh dikatakan, 90 peratus daripada penonton yang hadir adalah golongan remaja. Ia satu indikator yang patut kita beri keutamaan.

“Kami juga berharap momentum sebegini dapat diteruskan untuk pementasan teater pada siri yang akan datang,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.

Selain itu, Mohd. Amran juga menaruh harapan besar untuk melihat karya ini dapat memberi impak yang bagus serta dapat membantu pelbagai pihak yang terlibat dalam industri kreatif pementasan teater secara amnya.

Sementara itu, penulis lirik terkemuka yang pernah menghasilkan lagu buat Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Habsah Hassan turut berbangga dengan sambutan yang diberikan daripada penonton dan peminat baharu terhadap karya-karya Allahyarham.

“Ia jelas menunjukkan semua lagu Sudirman itu sesuai untuk semua golongan dan semua jalan cerita rakyat. Kalau dengar lagu-lagunya, terutama Merisik Khabar, saya pasti semua pun rasa terharu.

“Garapan jalan cerita juga bagus meskipun ia bukan menceritakan mengenai Allahyarham. Tetapi, ia menunjukkan karya-karyanya boleh dan sesuai menjadi cerita pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Teater Muzikal Sudirmania adalah satu projek pementasan teater tribute kepada ikon penghibur nombor satu negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad menerusi program Siri Karya Agung yang diselaraskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui JKKN, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor (JKKN Selangor) dan Pertubuhan Pameran Seni Teater (PEPSTER).

Program ini bertujuan mengetengahkan karya-karya seni dan sastera negara serta mempergiat persembahan teater warisan dalam kalangan remaja, belia dan masyarakat di Malaysia secara keseluruhannya.

Teater Muzikal Sudirmania diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy dan dibintangi oleh Fimie Don, Amirul Affendi, Putri Khareeza, Khayrisya Kemal, Kirin Muhd dan ramai lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN