Syed Hussien miliki pakej lengkap seorang pemimpin

Syed Hussien miliki pakej lengkap seorang pemimpin

Syed Hussien Syed Abdullah (tiga dari kanan) bukan sahaja mendapat sokongan daripada masyarakat tempatan di Kluang tetapi juga disenangi oleh pemimpin daripada pelbagai peringkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Mencari atau memilih seorang pemimpin bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan ‘percaturan’ masa depan.

Malah, akibat tersalah pilih akan menyebabkan banyak perkara akan ‘terjejas’ serta ‘tertinggal’ daripada aspek pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan, sekali gus rakyat akan menerima impaknya.

Justeru, para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diingatkan supaya memilih calon yang menepati ciri-ciri pemimpin yang baik dan boleh diharapkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK), esok.

Seorang belia yang menjalankan aktiviti perniagaan, Amar Afifi Amar, 30, mengakui calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, adalah orang yang tepat untuk diangkat sebagai wakil rakyat DUN Mahkota.

Menurutnya, ini kerana anak jati Kluang itu mudah didekati serta dihubungi walau pada bila-bila masa diperlukan.

“Lebih utama, sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang tidak mudah menolak setiap cadangan diberikan oleh orang di peringkat bawahan serta turut bersedia untuk membincangkan apa yang dibangkitkan.

Dia juga tidak pernah menggunakan kelebihan orang lain untuk kepentingan sendiri, namun sentiasa berfikir untuk kebajikan orang lain yang memerlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, Syed Hussien juga tidak bersikap sombong, memahami keperluan orang lain serta sentiasa membantu orang ramai yang menghadapi masalah dan memerlukan bantuan.

Dalam pada itu, bekas Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Jimmy Yap Chee Meng berkata, Syed Hussien sebagai rakan sekerjanya sangat lengkap untuk dipilih sebagai wakil rakyat DUN Mahkota.

Katanya, sesiapa sahaja yang pernah bekerja bersama-sama dengannya pasti akan dapat merasakan aura kepimpinan yang dimiliki Syed Hussien untuk membangunkan kawasan yang dipertanggungjawabkan.

“Anak muda seharusnya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan seorang pemimpin muda dan bukan pemimpin ‘berkarat’ yang belum terbukti kebolehannya berbanding Syed Hussien yang masih muda,” katanya.

Sementara itu, S. Sarasvathi, 57, mengakui sifat rendah diri calon BN itu ketika menyantuni golongan yang lebih berusia daripadanya amat dikagumi.

“Tidak lekang dengan senyuman, sentiasa menundukkan diri apabila menyapa orang lebih berusia membuatkan golongan seperti kami terpesona dengan adab dan sopan santunnya,” katanya sambil berharap kebajikan golongan warga emas sepertinya tidak ‘ditinggalkan’ apabila bergelar wakil rakyat nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN