Replika rangkaikan paus curi tumpuan

Replika rangka ikan paus curi tumpuan

Rangka tulang paus sei yang dipamerkan di Pavilion Megafauna sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2024) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MEPS), Serdang. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Rangka ikan paus sei (balanoptera borealis) sepanjang 18 meter yang dipamerkan kepada pengunjung sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini turut menjadi tumpuan para pengunjung.

Pembantu penyelidik di Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Muhafiz Hamid berkata, pameran itu bertujuan memberi pengetahuan kepada pengunjung terhadap haiwan mamalia yang berada di perairan Malaysia.

“Apa yang kami pamerkan di sini terbahagi kepada dua iaitu diorama penyu dan penyu hidup serta megafauna yang kami bawa dua spesies marin iaitu tulang paus sei dan tulang ikan lumba-lumba.

“Kami dapati ramai yang tidak tahu paus itu ada di dalam perairan Malaysia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Laman Perikanan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, semalam.

Menurutnya, terdapat lima langkah untuk memproses repositori kerangka paus tersebut iaitu bedah siasat, penanaman tulang, pembersihan tulang perebusan tulang serta pengiringan dan pencatuman.

MAHA 2024 yang dianjurkan buat kali ke 100 bertemakan Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan merupakan pameran pertanian utama dan terbesar di Asia Tenggara yang menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dibuka mulai pukul 10 pagi hingga 10 malam sehingga 21 September ini.

Dalam pada itu, Muhafiz berkata, pihaknya juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik serta hadiah kepada pengunjung yang melawat reruai termasuk hadiah untuk kanak-kanak yang menyertai aktiviti kami sediakan seperti mewarna.

“Kami juga sediakan kuiz selepas pengunjung melawat pameran-pameran yang disediakan oleh kami iaitu lebih kepada megafauna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN