RM4 juta perkasa keusahawanan francais di Pantai Timur RM4 juta perkasa keusahawanan francais di Pantai Timur

RM4 juta perkasa keusahawanan francais di Pantai Timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM4 juta dalam usaha memperkasa industri francais di tiga negeri di Pantai Timur meliputi Pahang, Kelantan dan Terengganu pada tahun ini.

Usaha memperkukuh industri francais dilaksanakan menerusi Program BizFrancais yang mula diperkenalkan pada 2019 dan 2024 merupakan tahun keenam penganjuran program itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Program BizFrancais Pahang 2024 merupakan lokasi ketiga bagi siri jelajah program berkenaan pada tahun ini selepas negeri Sarawak dan Pulau Pinang.

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, BizFrancais bertujuan untuk memberi kesedaran tentang peranan Pernas dan perkhidmatan yang ditawarkan berkaitan perniagaan francais serta peluang menjadi usahawan francais.

Katanya, ia selaras dengan visi Pernas iaitu menjadi organisasi peneraju utama bagi pembangunan francais dan pusat kecemerlangan keusahawanan yang unggul.

“Program ini juga dapat membuka peluang kepada usahawan sedia ada dan yang berpotensi bagi mengetahui informasi terkini mengenai perniagaan francais sekaligus memperbanyakkan lagi usahawan setempat untuk menceburi perniagaan francais.

“Usaha ini sekali gus membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan sambil mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang francais,” katanya.

PARA peserta yang terlibat dalam BizFrancais Sarawak pada 11 Mei lepas
menunjukkan dana yang mereka terima untuk perniagaan francais yang diusahakan.

Pernas menyasarkan RM50 juta bagi keseluruhan siri jelajah program BizFrancais pada tahun ini termasuk di tiga negeri Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dengan sebanyak RM25.23 juta telah berjaya disalurkan kepada para usahawan melalui program itu pada tahun lalu.

Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu juga telah membiaya sebanyak RM46 juta kepada usahawan di pantai timur di mana sebanyak 212 syarikat telah dibangunkan dengan pembiayaan dan latihan Pernas sejak tahun 2010.

Sehingga Jun lalu, Pernas berjaya menganjurkan dua sesi Jelajah BizFrancais iaitu BizFrancais Sarawak pada 11 Mei lepas dengan pendaftaran seramai 802 orang, manakala BizFrancais Pulau Pinang pada 8 Jun lalu telah merekodkan pendaftaran seramai 1,049 orang.

BizFrancais Pahang kali ini merupakan lokasi ketiga untuk tahun ini dan akan diadakan pada 3 Ogos depan bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuantan.

Pelbagai pengisian ditawarkan antaranya pameran usahawan dan agensi; taklimat perniagaan, tawaran pembiayaan perniagaan serta pameran daripada usahawan francais, pra-francais dan agensi yang berkaitan dengan keusahawanan.

Selain itu, sesi perkongsian oleh usahawan berjaya dan usahawan selebriti oleh Pengasas Bizmilla, Mila Jirin dan slot selingan seperti kahoot dan cabutan bertuah untuk peserta yang hadir turut disediakan di BizFrancais Pahang.

Mengulas lanjut, Hazimah berkata, peserta yang hadir juga berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan usahawan yang berjaya serta meneroka peluang-peluang perniagaan yang ada di program tersebut.

Katanya, peserta juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan perniagaan francais dan mengetahui produk serta perkhidmatan yang ditawarkan Pernas antaranya seperti skim pembiayaan, program pembangunan serta latihan francais.

“Malah, kami juga membawa usahawan-usahawan seperti Gloria Jean’s Coffees, 1901, Cleanpro, Sate Zul, Old Town White Coffee, Coolblog, Yamaha Music, Hot & Roll, Marrybrown, iLift Education dan banyak lagi sebagai pempamer,” katanya.

Jelas beliau, orang ramai boleh mengikuti media sosial Pernas di Facebook, Instagram, Twitter, dan @pernasofficial di Linkedin bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan program itu.

“Anda boleh juga hadir ke Program BizFrancais Pahang 2024 jika mempunyai perniagaan yang ingin dikembangkan ke arah francais.

“Anda juga berpeluang untuk meneroka pelbagai model dan pakej perniagaan francais dan pra-francais. Jadikan impian anda sebuah realiti sebagai usahawan francais yang berjaya bersama Pernas,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini