Kecaman dunia memuncak selepas enam wartawan Gaza maut dibom Israel - Utusan Malaysia

Kecaman dunia memuncak selepas enam wartawan Gaza maut dibom Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Gelombang kecaman antarabangsa memuncak susulan pembunuhan enam wartawan Palestin, termasuk dua koresponden Al Jazeera, dalam serangan udara Israel terhadap sebuah khemah media berhampiran Hospital Al-Shifa, di Bandar Gaza, pada Isnin.

Antara yang terkorban ialah Anas al-Sharif dan Mohamed Qraiqea, dua wartawan Al Jazeera yang terkenal dengan liputan langsung konflik di Gaza. Beberapa petugas media lain turut dilaporkan cedera parah, menjadikan insiden ini antara serangan paling berdarah ke atas pengamal media sejak konflik bermula.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB menyifatkan pembunuhan itu sebagai “pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa”, dan menegaskan bahawa Israel wajib melindungi semua orang awam, termasuk wartawan.

“Kami mengecam pembunuhan enam wartawan Palestin… Ini adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas,” kata kenyataan rasmi pejabat itu di platform X.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, melalui jurucakapnya, menyatakan kebimbangan mendalam terhadap insiden berulang yang menyasarkan wartawan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Kesatuan Eropah, Hadja Lahbib, menyifatkan serangan itu sebagai “serangan langsung terhadap kebebasan media.”

“Terkejut dengan pembunuhan wartawan Al Jazeera di Gaza. Orang awam mesti dilindungi. Media mesti dipelihara. Akses perlu dijamin,” katanya.

Menurut agensi berita Anadolu (AA), serangan tersebut menambah angka korban wartawan Palestin kepada sekurang-kurangnya 242 orang sejak 7 Oktober 2023.

Kesatuan Penyiaran Negara Arab (ASBU) turut mengecam keras serangan itu, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada tindakan sistematik Israel terhadap wartawan Palestin di Gaza dan wilayah diduduki.

Manakala Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) menyifatkan serangan tersebut sebagai serangan yang disasarkan, satu pelanggaran jelas terhadap Konvensyen Geneva.

“Kami mengecam pembunuhan Anas al-Sharif dan lima petugas media lain. Ini bukan kebetulan, ini adalah serangan ke atas kebebasan bersuara,” kata RSF.

Naib Presiden Palestin dan Timbalan Pengerusi PLO, Hussein al-Sheikh, turut mengutuk serangan itu, menyifatkannya sebagai “jenayah perang yang terang-terangan”. Beliau mendesak masyarakat antarabangsa serta badan-badan kebebasan media untuk bertindak tegas.

“Mereka dibunuh bukan kerana senjata, tetapi kerana kamera. Dunia tidak boleh terus berdiam diri,” tegas beliau.

PBB dan badan media antarabangsa turut menggesa supaya diberikan akses segera, bebas dan selamat ke Gaza untuk petugas media. Dalam keadaan semasa, wartawan menjadi antara golongan paling terdedah, walaupun mereka memainkan peranan penting menyampaikan maklumat dari zon konflik.

Insiden tragik ini sekali lagi mencetuskan persoalan besar terhadap tanggungjawab negara dalam melindungi wartawan di zon perang, serta keperluan mendesak untuk gencatan senjata dan penyiasatan antarabangsa yang telus terhadap serangan ke atas media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×