Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corp. Hol­dings Sdn. Bhd., Datuk Samson Anand George berkata, keseluruhan ciri yang terdapat pada model itu seperti gaya, rekaan dalaman dan prestasi telah berjaya memikat dan diiktiraf oleh juri.

Katanya, Peugeot 3008 SUV telah menerima lebih daripada 60 anugerah antarabangsa termasuk European Car of the Year 2017 pada Pertunjukan Motor Geneva.

“Peugeot 3008 SUV merupakan model Peugeot ketiga yang menerima pengiktirafan Car of the Year selepas Peugeot 308 Turbo dan Peugeot RCZ, masing-masing pada 2009 dan 2011.

“Peugeot Malaysia berbangga menerima anugerah ini dan ia menjadi bukti populariti yang dimiliki oleh Peugeot 3008 SUV. SUV berkenaan merupakan model paling laris Malaysia dan kami akan terus menawarkan produk berkualiti di pasaran,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Selain anugerah utama, Peugeot 3008 SUV juga dipilih sebagai penerima Good Design Award dan Compact Crossover of the Year.

Selain itu, Kumpulan Naza melalui jenama francais automotifnya, Kia turut menerima anugerah MPV of the Year (bawah RM200,000) bagi model Grand Carnival 2.2D SX.

Peugeot 3008 SUV menerima respon positif di seluruh dunia sebagai SUV moden yang paling inovatif dalam kelasnya menerusi gaya dan elegan yang sinonim dengan Perancis.

Model itu mempunyai karakter tersendiri apabila berjaya menggabungkan gaya yang unik bersama keselesaan dan kawalan ketika pemanduan.

Selain itu, model berkenaan dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Peugeot i-Cockpit, paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci, paparan skrin sentuh sebesar lapan inci dengan fungsi mirror, Android Auto, Apple CarPlay dan Mirror Link.