Langkah proaktif itu termasuk usaha bersungguh-sungguh untuk mempertahankan akhbar berkenaan yang disifatkan sebagai khazanah negara yang semestinya berkait rapat dengan jiwa orang Melayu.

Naib Presiden Gagasan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, pihaknya kagum dengan pengurusan akhbar berkenaan yang masih sanggup meneruskan operasinya menerbitkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! seperti biasa, meskipun dalam keadaan sukar sekarang.

Menurutnya, usaha mempertahankan khazanah itu juga demi menjaga imej Melayu memandangkan akhbar tersebut bukan sekadar bahan sejarah malah merupakan `darah daging' orang Melayu di negara ini.

"Kami terharu malah sangat teruja dengan keputusan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd. ini untuk terus beroperasi macam biasa dan meneruskan penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

"Khazanah negara (Utusan) ini perlu dipertahankan, lahirnya syarikat akhbar ini adalah satu sejarah dan mencerminkan imej yang menjadi kebanggaan orang Melayu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Anuar seterusnya menarik perhatian, bagi memastikan akhbar itu terus mendapat sambutan ramai, beliau juga mencadangkan supaya dilakukan penjenamaan semula terutama pada `mask head' di muka depan akhbar tersebut dengan menggantikan Utusan Malaysia kepada Utusan Melayu dalam tulisan jawi.

"Penjenamaan semula ini adalah menukarkan Utusan Malaysia kepada Utusan Melayu dari tulisan rumi kepada tulisan jawi," jelas beliau.

Beliau turut menyarankan agar badan-badan bukan kerajaan (NGO) menggerakkan kempen membeli naskhah Utusan Malaysia atas semangat Kemerdekaan bersempena bulan Kemerdekaan.

Selain itu, katanya, Kementerian Pendidikan juga pelu memainkan peranan membantu Utusan dengan membenarkan semua institusi pendidikan merangkumi sekolah dan universiti untuk menerima kembali akhbar itu demi keperluan para pelajar.

"Kita harap Kementerian Pendidikan ketepikan soal politik, terimalah balik akhbar Utusan bagi kegunaan para pelajar di semua peringkat institusi pendidikan kerana apa saja maklumat dalam akhbar itu diperlukan para pelajar," jelasnya. - UTUSAN ONLINE