Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata pelantikan Zahazan bagi tempoh tiga tahun itu berkuat kuasa pada 15 Dis lepas, manakala Zuraidah pula sehingga tamat perkhidmatan di Kementerian Pendidikan.


Beliau berkata pelantikan Zahazan dibuat bagi mengisi kekosongan anggota terdahulu, Datuk Zali Mat Yasin yang tamat tempoh lantikan pada 7 Ogos lepas selain Zuraidah menggantikan Jamalulail Abu Bakar yang tempoh lantikan pada 30 April lepas.

"Kedua-dua tokoh ini sudah tidak asing bagi UTeM yang Zahazan merupakan antara ikon yang sering dijemput bagi menyampaikan ceramah, dan pelantikan ini bertepatan dengan hasrat UTeM dalam mencapai kecemerlangan pendidikan teknikal yang kreatif dan inovatif terkemuka dunia bagi menghadapi revolusi Industri Keempat (Industri 4.0)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Shahrin berkata Zahazan yang merupakan Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn Bhd itu berpengalaman sebagai pensyarah selama 10 tahun di Universiti Islam Antarabangsa.


Beliau berkata Zuraidah pula berpengalaman luas dalam membantu merealisasi repositori kebangsaan bagi pengumpulan, pengurusan, dan penyebaran rekod dan maklumat bibliografik penerbitan ilmiah dan hasilan intelek negara.- BERNAMA