PROF. MOHAMED RIDZA WAHIDDIN dilantik sebagai Naib Canselor baharu USIM. - UTUSAN ONLINE

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM dalam satu kenyataan berkata, pelantikan untuk tempoh tiga tahun bermula 23 September 2019 hingga 22 September 2022 menjadikan beliau Naib Canselor kelima USIM sejak universiti ini ditubuhkan pada tahun 2000.

"Warga kampus yang terdiri daripada pensyarah, pentadbir, persatuan kakitangan dan badan pelajar amat mengalu-alukan pelantikan beliau ke jawatan itu untuk terus memacu kecemerlangan universiti.

"Warga USIM turut mengucapkan penghargaan kepada mantan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad atas kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang memegang jawatan tersebut dalam membangun dan meningkatkan kecemerlangan USIM di pelbagai peringkat," kata kenyataan itu di sini hari ini.

Mohamed Ridza, 57, berasal dari Selangor merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik (tahun 1984), Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (Theoritical Physics) dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom.

Beliau juga merupakan lulusan Diploma in Islamic Studies di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Higher Doctoral Degree (DSc), UMIST pada tahun 2004.

Pelantikan beliau juga berdasarkan pengalaman dan pencapaian semasa memegang jawatan pentadbiran utama iaitu sebagai Timbalan Rektor (Penyelidikan dan Inovasi) di UIAM.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Dekan Research Management Centre, UIAM dan Dekan Office of Corporate Strategy dan Quality Assurance di UIAM sebelum itu merupakan pensyarah di Jabatan Matematik dan Institute of Mathematical Sciences di Universiti Malaya.

Dalam pada itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Senior Director of Advanced Analysis and Modeling Cluster and Information Security Cluster di MIMOS Berhad pada tahun 2005 hingga 2011.

Selain terlibat aktif dalam menghasilkan pelbagai penulisan jurnal akademik, konferen dan prosiding, beliau juga pernah menjadi sebahagian daripada ahli jawatankuasa bagi Program 13th International Conference on Advances in Mobile Computing and Multimedia pada tahun 2015.

Atas sumbangannya kepada universiti dan komuniti, beliau pernah dianugerahkan beberapa pengiktirafan seperti Kesatria Mangku Negara (KMN) daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 2010 dan University of Malaya Excellence Service Award pada tahun 1995, 1996 dan 1998.

Beliau juga pernah menerima Anugerah Innovator Terbaik MIMOS 2007 dan Anugerah Innovator MIMOS 2011 sempena ulang tahun MIMOS yang ke-25.

Beliau telah diberi penghormatan dalam kategori Ahli Profesional Kanan bidang Keselamatan IT untuk Anugerah Pencapaian Kepimpinan Keselamatan Maklumat Asia Pasifik 2009.

Pelantikan Mohamed Ridza sebagai Naib Canselor USIM yang baharu diumumkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi menerusi satu kenyataan semalam. - UTUSAN ONLINE