Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, pameran yang bermula sejak semalam itu merupakan tanda penghargaan kepada pelajar yang telah menghasilkan rekaan terbaik untuk projek tahun akhir.

Beliau berkata, pameran berkenaan dapat memperkenalkan lagi hasil-hasil rekaan kepada pemain industi kerana kreativiti pelajar dalam menghasilkan produk masing-masing amat baik dan ada diantaranya bertetapan dengan permintaan serta kehendak industri

“Terdapat 49 projek tahun akhir dipamerkan dalam pameran ini. Kita mahu bawa kelainan, sebelum ini projek tahun akhir pelajar tidak diberikan tumpuan seperti ini dan hanya berakhir selepas pensyarah membuat penilaian, amat rugi jika ia berterusan sebegitu.

“Projek yang dihasilkan oleh pelajar ini mempunyai masa depan dan boleh diketengahkan,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menemani Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Dr. Lim Kok Wing melawat pameran tersebut di sini hari ini.

Sementara itu, Pensyarah Industri Rekaan Universiti Limkokwing, Khairul Anwar Tumingan berkata, pelajar tahun akhir telah menghasilkan pelbagai rekan menarik meliputi reka bentuk perabut, reka bentuk projek industri serta rekaan fesyen.

Melalui pameran itu katanya, pelajar dapat memberi penerangan secara jelas kepada pengunjung mengenai setiap projek tahun akhir yang telah dihasilkan, ia secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi produk yang dihasilkan.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar iaitu Debashish Pradhan dari Nepal berkata, untuk projek tahun akhir beliau telah menghasilkan kenderaan penyedut sambah yang sesuai digunakan untuk jalan yang sempit.

“Idea untuk menghasilkan projek ini tercetus apabila saya melihat situasi di negara saya, sampah tidak dapat dikutip kerana jalan yang kecil. Jadi, saya cipta kenderaan ini untuk tujuan tersebut dan saya berharap ianya dapat dikomersialkan.

“Cadangan untuk penggunaan hasil ciptaan saya ini telah diketengahkan oleh beberapa pihak kepada kerajaan Nepal. Kenderaan ini mudah digunakan dan mampu menyelesaikan masalah sampah di kawasan yang sempit,” katanya.-UTUSAN ONLINE