Bagi tujuan itu, Kampung Aring 5 dan Kampung Kuala Koh di Pos Lebir, di sini dipilih sebagai kawasan perintis sebelum projek sama diperluaskan ke perkampungan Orang Asli lain pula.

Penasihat projek itu, Prof. Dr. Ramlee Abdullah berkata, projek tersebut diusahakan oleh 87 pelajar jurusan Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) sebenarnya telah bermula sejak Februari lalu.

Katanya, projek itu adalah hasil usaha pelajar yang mengambil subjek Kesukarelawan Kontemporari apabila berjaya mengumpul dana orang ramai bagi membiayai kosnya.

“Asas pembukaan kelas itu adalah kerana Unisza merupakan sebuah universiti komuniti dan kita mahu mengambil langkah terkehadapan bagi memberi ilmu kepada mereka.

“Kami percaya aktiviti bersama komuniti dapat membekalkan pengalaman baharu dan memberi gambaran sebenar kehidupan di luar sana yang lebih mencabar sebagai persediaan kepada mereka sebelum tamat pengajian,” katanya kepada pemberita di Kampung Aring 5, di sini hari ini.

Ramlee berkata, kelas itu juga pada mulanya dibuat dalam bangunan usang dan terbiar di kampung berkenaan sebelum dia dan rakan-rakan membaik pulihnya secara bergotong-royong.

Katanya, kelas tersebut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) serta ketua komuniti di kampung itu.

“Kita juga merancang untuk membuka kelas sama di Kampung Kuala Koh, namun musibah serta krisis kesihatan yang melanda komuniti itu menyebabkan kita menangguhkan operasi di kampung itu.

“Masyarakat Orang Asli Bateq seperti di Kampung Aring 5, Kampung Kuala Koh dan Kampung Pasir Linggi di sini umpama keluarga Unisza apabila kita sering berhubungan dan membantu mereka,” katanya. - UTUSAN ONLINE