Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, program tersebut yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (Ikom) Unimap telah diperakukan oleh senat universiti ke-91 yang bermesyuarat pada 26 Jun lalu.

“Penawaran ini dibuat susulan permintaan yang tinggi pelajar terhadap program ini dengan setiap tahun kita mendapat unjuran sebanyak hampir 180 orang pelajar bagi setiap kohort.

“Setakat ini, kita telah pun berjaya mencapai 100 peratus pelajar prajaya bagi pengambilan setiap tahun.

“Namun demikian, penawaran kursus secara sambilan ini masih tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dan ia akan ditawarkan mulai September ini sebaik sahaja mendapat kelulusan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program Santai Ke Dusun Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Korporat (UKK) Unimap yang disertai oleh 15 orang pengamal media di Dusun Genting Nakawan, Bukit Ayer dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap; Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan dan Ketua Unit UKK, Mustaffa Ismail.

Mengulas lanjut, Badlishah berkata, program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu Unimap akan dilaksanakan pada setiap Sabtu dan Ahad untuk tempoh minimum empat tahun pengajian.

Katanya, syarat kemasukan bagi mengikuti program tersebut adalah sama seperti pelajar-pelajar perdana yang lain.

Tambah beliau, perkara ini termasuklah turut melaksanakan pengecualian bagi kes-kes tertentu berdasarkan penilaian Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Program ini akan mengguna pakai tambahan syarat kemasukan pelajar APEL A iaitu bagi membolehkan pelajar prospek yang tidak memenuhi syarat asal untuk mengikuti program ini dan APEL CP iaitu pemindahan kredit kepada pelajar yang berkelayakan,” katanya.

Mengenai kurikulum pengajian, beliu berkata, program Komunikasi Media Baharu menawarkan elemen teknologi baharu dalam tiga komponen utama iaitu komunikasi, media baharu dan keusahawanan.

Jelasnya, program tersebut juga turut diletakkan di bawah program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) memandangkan ia merangkumi elemen media baharu yang berteraskan aplikasi teknologi seperti Internet of Things serta digital dan multimedia kreatif yang merupakan bidang tujahan utamanya.

“Selain memberi peluang pengamal media menyambung pengajian, penawaran ini juga adalah sebahagian usaha universiti meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa selain turut merangkumi usaha memperkasa program TVET di Unimap.

“Antara mata pelajaran teras adalah Script Writing & Digital Storyboard, Digital Photography, Graphic Design for New Media, Digital Video Production, Animation for Integrated Media dan 3D Modelling yang mementingkan elemen hands-on kepada para pelajar dan saya yakin ia dapat memberi faedah kepada pengamal media amnya,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE