UMT dalam satu kenyataan berkata, inisiatif kali ketiga di bawah program tanggungjawab sosial universiti (USR) itu bertujuan membantu murid terpilih meneroka, mengenal dan melonjak potensi diri agar lebih berjaya, cemerlang sekali gus mampu merealisasikan impian masing-masing.

Katanya, siri pertama program telah diadakan pada Julai 2018 manakala siri kedua pada November tahun sama dengan ketiga-tiganya dikendalikan oleh Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kerjaya UMT, Dr. Mohd. Shaari Abd. Rahman.

“Dalam siri #BuatBiarJaddi terbaharu, murid-murid dibimbing untuk mencari jalan bagaimana membentuk dunia secara lebih efektif dan cemerlang di samping menggalakkan mereka menukar persepsi terhadap sesuatu perkara dengan lebih positif dan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjuran secara bersiri dilihat tepat dalam mengukur impak dan kesan positif ke atas semua murid terlibat sebagai persediaan sebelum mereka menghadapi peperiksaan pertengahan tahun nanti. - UTUSAN ONLINE